Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah dengar semakan keputusan wanita kekal status Islam pada 6 Jan
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 Jan tahun depan untuk mendengar permohonan seorang wanita berusia 37 tahun bagi menyemak semula keputusan terdahulu yang mengesahkan status agamanya sebagai seorang Islam.

Peguam A Surendra Ananth yang mewakili wanita tersebut serta peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan tarikh pendengaran tersebut kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pada Ogos lalu, wanita itu memfailkan permohonan bagi membatalkan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Persekutuan yang diputuskan pada 3 Mei lalu yang menolak rayuannya.

Wanita tersebut berpendapat bahawa keputusan majoriti itu adalah per incuriam iaitu suatu keadaan di mana keputusan mahkamah terdahulu mengabaikan peruntukan statut yang relevan atau keputusan mahkamah yang mengikat.

Beliau mahu Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuannya.

Wanita itu seterusnya mendakwa bahawa keputusan itu dibuat di luar bidang kuasa mahkamah dan melanggar prinsip keadilan asasi yang membawa kepada salah laksana keadilan yang serius.

Dalam keputusan pada 3 Mei, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai Islam.

Dilahirkan di Selangor pada 1986 kepada bapa beragama Hindu dan ibu penganut Buddha, wanita itu mendakwa ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya ketika dia berusia lima tahun di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Wanita itu mendakwa penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992.

Pada tahun berikutnya, ibunya berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

Wanita itu mendakwa walaupun ibunya memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianutinya sejak lahir.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan deklarasi bahawa dia tidak lagi seorang Muslim tetapi permohonannya ditolak pada 20 Julai 2017.

Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Dia meneruskan tindakan sivil dan berjaya mendapatkan deklarasi status bukan Muslimnya pada tahun 2012 di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Namun, keputusan tersebut telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Januari tahun lalu yang mengesahkan semula statusnya sebagai seorang Islam setelah rayuan daripada MAIS dan kerajaan negeri Selangor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS