Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan dicadang jadikan stesen pengecasan sebagai aset grid negara
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

PARLIMEN l Kerajaan dicadang supaya menjadikan stesen pengecasan sebagai aset grid kebangsaan bagi menampung potensi pertambahan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata jumlah EV dan stesen pengecasan adalah ibarat situasi "chicken and egg" (ayam dan telur) dan jika tidak ada cukup stesen pengecasan, rakyat tidak akan membeli EV.

"Tetapi jika tidak cukup EV, tiada syarikat nak memasang stesen pengecasan, kerana pendapatan stesen adalah bergantung pada berapa banyak kereta elektrik yang dicas setiap hari," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong)

Yeo mencadangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menampung kos pembinaan stesen pengecasan melalui perbelanjaan modal daripada Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh kawal selia (RP) seterusnya iaitu RP4 bagi tempoh 2025-2027.

“Dengan memasukkan pemasangan stesen pengecasan di bawah IBR, TNB akan menjadi pelaksana utama dan ia boleh merancang dan memasang stesen pengecasan dengan cepat dan efisien di tempat-tempat awam.

“Selain itu, kos per unit stesen pengecasan akan menjadi lebih rendah dengan adanya ekonomi bidangan,” katanya.

Yeo berkata semua perbelanjaan modal untuk infrastruktur grid kebangsaan adalah dikira di bawah IBR dan ia adalah salah satu komponen yang digunakan untuk menentukan tarif asas di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, jika perbelanjaan modal untuk RP4 adalah sama seperti RP3 iaitu RM20 bilion, perbelanjaan pembinaan stesen pengecasan hanya 2.9 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal yang akan diperuntuk oleh TNB untuk tempoh 2025-2028.

“Saya telah kira secara kasar, untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecasan kita perlu membina kira-kira 7,500 stesen lagi.

“Andai kata 20 peratus daripada ini adalah pengecas direct current (DC), yang mana kos sekitar RM250 ribu dan 80 peratus pengecas alternating current (AC) yang mana kos sekitar RM35 ribu, maka jumlah kos ialah RM585 juta.

“The question now is, is it worth investing? (Persoalannya sekarang adakah berbaloi untuk melabur?) I think it's a big yes (Saya berpandangan ia sangat berbaloi) . Ini kerana impak stesen-stesen ini adalah besar dan positif,” katanya.

Sementara itu, Yeo turut menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pembentangan “lemon law”, iaitu undang-undang yang melindungi pengguna daripada “lemon”, iaitu barangan yang tidak memenuhi standard kualiti.

Beliau berkata lemon law telah pun diwujudkan di banyak negara seperti Korea Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina dan undang-undang ini biasanya digunakan untuk melindungi pembeli kereta.

"Lemon Law memberikan hak kepada pembeli untuk meminta pemulangan wang ataupun penggantian kenderaan jika kenderaan tersebut terus mempunyai masalah yang serius setelah beberapa cubaan pembaikan," katanya.

Menurutnya, lebih daripada 70 peratus rakyat Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu kereta dan lemon law juga akan meningkatkan kualiti kenderaan yang dijual di pasaran dan perkhidmatan selepas jualan.

"Dengan itu, Puchong ingin mendapat penjelasan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup apakah perkembangan penyediaan draf lemon law dan bilakah RUU akan dibentangkan di dewan yang mulia ini?" kata Yeo.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS