Paling Popular
Terkini
1

PARLIMEN l Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan definisinya tentang golongan "maha kaya."

Pemimpin Bersatu itu dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 mempersoalkan penggunaan istilah berkenaan oleh Anwar dan menuntut penjelasan yang lebih tepat.

Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor )

“Saya nak tanya, apa sebenarnya definisi maha kaya? Adakah seseorang yang mampu hidup mewah walaupun tak ambil gaji selama bertahun-tahun itu dianggap sebagai maha kaya?

“Adakah orang yang jadi jutawan setelah jadi seorang setiausaha politik sahaja, itu masuk kategori maha kaya?”soalnya yang jelas menyindir bekas pembantu politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Farhash mencuri tumpuan apabila laopran media menyebut bahawa dia melabur hampir RM40 juta dalam penyedia perkhidmatan teknologi HeiTech Padu Sdn Bhd, yang telah disenaraipendekkan untuk kontrak kerajaan.

Sementara itu, Anwar, yang juga ahli Parlimen Tambun, tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri untuk tahun ketiga berturut-turut sejak memegang jawatan itu pada November 2022.

Anwar Ibrahim (PH-Tambun)

Pada April lalu, Anwar juga memulangkan elaun yang tidak diambilnya sebagai pengerusi Khazanah Nasional.


BACA LANJUT: Gaji PM lebih rendah daripada enam MB, KM


Wan Saiful selanjutnya mendakwa Anwar menggunakan apa yang disifatkannya sebagai propaganda "'99 peratus lawan satu peratus" yang sudah lapuk.

“Adakah retorik populis yang dicipta di Amerika Syarikat ini sebenarnya ikhlas digunakan sebab nak perjuangkan nasib orang miskin.

“Atau adakah ia hanya propaganda untuk menutup kegagalan demi kegagalan untuk menunaikan janji yang semakin jelas dilihat setiap hari?

“Berapa lama lagi retorik dan propaganda ini nak digunakan untuk menutup ketidakmampuan mentadbir negara dengan cara yang baik?

“Jadi saya rasa cukup-cukuplah gunakan retorik tapi buatlah kerja dengan baik supaya rakyat nampak bukan saja dengar tapi nampak hasilnya,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS