Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Suasana tenang melatari perbahasan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sebelum keadaan tiba-tiba bertukar kecoh apabila pencelahan dibuat Awang Hashim (PN-Pendang) dibantah wakil kerajaan.

Pada awalnya Halimah mengulas suasana hidup dalam harmoni dan perpaduan antara kaum dengan menjadikan Kelantan sebagai contoh yang dimaksudkannya.

Tidak lama kemudian Awang bangun, mohon mencelah dan bertanya mengenai 'formula' yang digunakan kerajaan Kelantan - pimpinan PAS - sehingga rakyatnya boleh berkomunikasi menggunakan dialek sama walaupun dari latar bangsa yang berbeza.

"Yang keduanya, mereka (penduduk Kelantan) tidak ada timbul soal keagamaan, saling hormat-menghormati... mungkin (sebab) di sana tidak ada DAP atau apa?" katanya.

Halimah kemudiannya menjelaskan rakyat Kelantan berpegang kepada slogan set kito jange pecoh yang membawa maksud "orang kita jangan berpecah".

Dr Halimah Ali

Susulan soalan yang dilihat sengaja 'mengundang' itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mencelah dan menyatakan bahawa Kelantan aman sebab tiada wakil rakyat seperti Pendang (Awang).

Keadaan bertambah riuh apabila Chong Zhemin (PH-Kampar) turut bangun dan mendakwa kenyataan dibuat Awang adalah mengelirukan dewan.

"Peraturan mesyuarat 36 (12) - mengeluarkan kenyataan dewan adalah disifatkan menghina majlis dan ahli itu boleh dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen.

"Tadi Pendang kata Kelantan tak ada DAP itu salah, memang kami ada cawangan (di Kelantan). Tarik baliklah Pendang, tarik balik," katanya.

Awang bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan alasan dia menggunakan perkataan "mungkin" namun ia tidak memuaskan hati ahli-ahli parlimen kerajaan khususnya dari DAP.

Pertikaian itu berlarutan dengan perdebatan mulut antara mereka.

Timbalan Speaker Mohd Shahar Abdullah kemudian berjaya meleraikan kekecohan itu selepas penjelasan dibuat Awang.

Apabila keadaan reda Halimah melontarkan cadangan agar Kementerian Perpaduan Negara menjadikan Kelantan sebagai model supaya keharmonian dan kesepaduan penduduknya boleh dicontohi negeri-negeri lain.

"Jadi hakikatnya selama 34 tahun PAS memerintah Kelantan tidak ada sekolah vernakular yang ditutup, tidak ada rumah ibadah diroboh, saya minta ahli-ahli yang berhormat fikirkan dengan tulus jangan gaduh-gaduh.

"Insiden (seperti 13 Mei) tidak berlaku, bahkan tidak pernah ada insiden ketengangan antara kaum di Kelantan.

"Boleh tak kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara mengangkat Kelantan sebagai contoh model perpaduan kaum yang jelas berjaya dengan model sebuah negeri yang 96.6 peratus Islam tetapi semuanya diraikan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS