Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel dakwa berjaya bunuh Hashem Safieddine pula
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Tentera Israel mendakwa bahawa ia berjaya membunuh Hashem Safieddine, yang dinamakan sebagai pengganti pemimpin Hizbullah allahyarham Hassan Nasrallah.

Menurut laporan berita hari ini, tentera Israel berkata Safieddine terbunuh dalam serangan udara hampir tiga minggu lalu di Beirut.

Hizbullah belum mengesahkan kematian Safieddine.

Pemimpin terdahulunya, Nasrallah, dibunuh dalam serangan udara Israel di Beirut pada 27 Sept.

CNN melaporkan bahawa tentera Israel juga telah membunuh Khalil Mohammed Amhaz, seorang pengendali dron untuk Hizbullah.

Dia disifatkan sebagai "tokoh kritikal" dalam unit udara Hizbullah dengan kepakaran dalam peperangan dron maut dalam serangan udara di timur Lubnan.

Hizbullah juga tidak mengulas mengenai dakwaan itu.

Tentera Israel sebelum ini juga mendakwa bahawa mereka berjaya membunuh tiga komander Hizbullah di kawasan Jibchit, Jouaiya, dan Qana di selatan Lubnan sejak dua hari lalu.

Hizbullah tidak mengulas mengenai kematian tersebut.

Dalam laporan awal, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk empat kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel berhampiran hospital awam terbesar Lubnan di selatan Beirut.

Laporan BBC yang memetik jurucakap kementerian itu sebagai menyatakan bahawa 60 orang lagi cedera apabila sekurang-kurangnya tiga bangunan kira-kira 50m (160 kaki) dari hospital Universiti Rafik Hariri musnah di kawasan kejiranan Jnah pada malam Isnin.

"Kementerian kesihatan berkata serangan itu - satu daripada sekurang-kurangnya 13 yang dilaporkan di seluruh ibu negara - menyebabkan kerosakan besar kepada hospital," tambahnya.

Namun, menurut tentera Israel, ia menyerang "sasaran pengganas Hizbullah" berhampiran hospital itu tetapi tidak memberikan butiran. Ia juga menegaskan bahawa hospital itu bukan sasaran mereka.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS