Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Chong Zhemin hari ini mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat untuk merujuk dua ahli parlimen PN ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya usul tersebut diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Langkah diambil Ahli Parlimen Kampar itu dibuat dengan merujuk kepada penggunaan kata-kata yang dianggap melanggar etika parlimen disebutkan pembangkang.

Bercakap kepada media, Chong berkata, insiden pertama berlaku pada jam 12.30 tengah hari kelmarin apabila Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dengan bersahaja menyebut perkataan mencarut.

Membacakan petikan yang disiarkan dalam hansard parlimen, Chong berkata Rosol menyebutkan: "Banyak cukai akan dibebankan di atas pundak rakyat. Bukan ‘pund*k’ ya, pundak.

Ketika itu Rosol mencelah Hamzah Zainudin yang berucap membahaskan Belanjawan 2025.

Insiden kedua berlaku beberapa jam kemudian pada hari sama. Kali ini melibatkan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang berucap dengan menyatakan rasa kurang senang terhadap tindak-tanduk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Rosol Wahid

Melalui hansard, Chong membacakan kata-kata Afnan Hamimi sebagai: "Perdana menteri ini ada pejabat, ada pegawai. Perdana menteri bukan mamak pasembur boleh turun ikut dan (tanpa mengira masa) jumpa orang atas jalan. Tak boleh Dia ada SOP dia, ada aturan dia. Dia kena ikutlah aturan pejabat itu."

Menurut Chong, kedua-dua frasa disebutkan Rosol dan Afnan Hamimi adalah bahasa yang kurang sopan dan unparliamentary.

"Oleh itu di bawah Peraturan Mesyuarat 36(4), menjadi kesalahan bagi ahli-ahli dewan untuk menggunakan bahasa yang kurang sopan, biadab atau membuat kenyataan seksis.

"Peraturan Mesyuarat 36(12) pula menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan, ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Maka saya mohon speaker pertimbang usul untuk rujuk kedua-dua ahli parlimen ini kerana menggunakan perkataan biadab, tidak sopan dan unparliamentary," katanya.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

Menurut Chong, Dewan Rakyat perlu merujuk Rosol dan Afnan Hamimi ke jawatankuasa berkenaan walaupun kedua-duanya menyebut perkataan tersebut dengan digandingan bersama perkataan "bukan".

Katanya, walaupun menyebut perkataan "bukan pund*k dan "bukan mamak pasembur", ia tidak boleh dibiarkan dan membuka risiko lain kepada perjalanan parlimen pada masa akan datang.

"Kalau justifikasi ini boleh diterima, bermakna lain kali akan jadi free for all (keadaan bebas, tidak terkawal) untuk semua ahli parlimen berbahas.

"Mereka boleh gunakan perkataan 'bukan' di depan dan cakap apa-apa sahaja. Jadi saya rasa ini tidak boleh diterima," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS