Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM2.6j rokok seludup, minuman keras dirampas Kastam Pahang

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang melumpuhkan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras tidak berkastam hasil serbuan di Taman Perindustrian Perdana, dekat Lukut, Negeri Sembilan pada 28 Sept lalu.

Hasil serbuan di dua lokasi berasingan dalam kawasan perindustrian itu, penguat kuasa JKDM Pahang merampas sejumlah rokok dan minuman keras bernilai kira-kira RM2.6 juta.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata berdasarkan maklumat orang awam mereka melakukan pemeriksaan ke atas dua gudang itu dilakukan antara jam 8 pagi hingga jam 2 petang.

"Dalam serbuan pertama, JKDM menjumpai rokok pelbagai jenama yang tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran 1, Bahagian 2, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Nilai rampasan dianggarkan RM286, 118.40 membabitkan jumlah cukai dan duti RM2.1 juta," katanya dalam sidang media di Kuantan hari ini.

Mohd Asri menjelaskan pengimportan rokok memerlukan lesen dan setem cukai melalui kaedah ditetapkan mengikut Peraturan 42(1), Peraturan Kastam 2019.

Dalam serbuan kedua pula, katanya, bahagian JKDM Pahang menyerbu sebuah premis dalam kawasan perindustrian sama dan merampas 3,928.4 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM65,538.91.

"Nilai duti atau cukai bagi rampasan minuman keras ini dianggarkan RM227,597.

"Perlu diingatkan bahawa aktiviti menyuling, menapai atau mengilang liquor yang memabukkan memerlukan lesen diluluskan Ketua Pengarah JKDM mengikut Seksyen 20(1) Akta Eksais 1976," jelasnya.

Mohd Asri memberitahu siasatan kes pertama dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala bagi kes kedua pula, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) Akta Eksais 1976.

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak 156 kes membabitkan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak berkastam direkodkan JKDM Pahang sejak Jan lalu.

Mohd Asri berkata, nilai rampasan dianggarkan RM3.1 juta membabitkan kerugian cukai kira-kira RM11.8 juta kepada negara.

"Untuk tempoh sama, seramai 51 suspek berjaya ditahan, sembilan daripadanya dihadapkan ke mahkamah dan enam sudah menerima hukuman," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS