Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada intelektual Islam, Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara, hari ini.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong, pelantikan Muhammad Naquib Al-Attas adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
"Pelantikan Profesor Diraja kepada Muhammad Naquib Al-Attas adalah atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
"Profesor Diraja Muhammad Naquib Al-Attas merupakan Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) dan juga seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara.
"Beliau juga merupakan individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Makkah pada tahun 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia," kata kenyataan itu.
Hadir sama pada majlis itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.
Menurut kenyataan itu, Muhammad Naquib Al-Attas turut menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim di atas kurniaan itu.
Muhammad Naquib Al-Attas menjadi individu kedua di negara ini memperoleh gelaran profesor diraja.
Pada tahun 1978, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid merupakan satu-satunya tokoh yang menerima gelaran itu.
Sementara itu, Zambry berkata pengurniaan bersejarah gelaran Profesor Diraja kepada Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) itu akan menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh rakyat terutama ahli akademik Malaysia.
Katanya, pengurniaan itu diharap dapat merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan, seterusnya menyumbang bakti ke arah memartabatkan budaya ilmu di negara ini.
Menurut Zambry, susulan pelantikan itu, kerajaan turut bersetuju memberikan anugerah berjumlah RM500,000 kepada Syed Muhammad Naquib sebagai mengiktiraf dan menyanjung sumbangan beliau terhadap bidang pendidikan.
“Beliau merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara, dan telah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.
“Warisannya tidak ternilai kepada bidang bahasa adabiyat (peradaban) dan kesusasteraan Melayu,” katanya yang dipetik Bernama.
Mengimbau latar belakangnya, Zambry berkata Syed Muhammad Naquib, 93, mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar pada 1946.
Dia kemudian mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada 1963.