Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kawalan harga mesti seiring dengan kenaikan gaji minimum - Muhyiddin 

Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) melihat kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 kepada RM1,700 mempunyai pro dan kontra.

Presiden Bersatu berkata, ia tidak menjadi masalah bagi majikan yang mampu menyerap peningatan kos upah.

"Namun, ia akan menjadi masalah jika majikan memindahkan kenaikan kos upah pekerja kepada pengguna. 

“Harga barang dan perkhidmatan sudah pasti akan naik,” katanya dalam perbahasan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin Yassin

Perkara itu, katanya, memberi kesan kepada kuasa beli pengguna, apatah lagi ditambah dengan bebanan kos perbelanjaan akibat rasionalisasi subsidi, kenaikan tarif elektrik dan peningkatan cukai barang dan perkhidmatan (SST).

"Akhirnya, pekerja yang menerima kenaikan gaji itu pun terpaksa berhabis wang untuk menampung peningkatan perbelanjaan harian,” katanya.

Justeru, Muhyiddin mengingatkan, gaji minimum mestilah disokong dengan dasar dan tindakan kawalan harga.

Jelasnya, penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 mestilah diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.

"Di samping itu, kerajaan juga mestilah lebih berhati-hati dalam melaksanakan apa-apa dasar yang boleh menyebabkan kesan berantai ke atas kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Selain itu, kerajaan mestilah melihat secara terperinci masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos operasi syarikat akibat kenaikan kos upah. Ini kerana kesan berantai kenaikan gaji minimum ini besar.

"Ia bukan sekadar kenaikan kos upah yang terpaksa ditanggung oleh syarikat, tetapi juga kos operasi, logistik, inventori dan lain-lain," kata Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS