Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Seputeh saran majikan pekerja asing hanya carum 1.5 peratus

PARLIMEN l Seorang ahli parlimen penyokong kerajaan yang membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 mencadangkan kadar alternatif bagi pelaksanaan caruman mandatori majikan dan pekerja asing kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun depan.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan dengan ketara caruman daripada majikan pekerja asing, dengan mengambil kira peningkatan kos pengambilan pekerja dengan gaji minimum baru RM1,700 mulai tahun depan.

“Justeru, saya ingin mencadangkan kerajaan majikan dikehendaki bayar caruman 1.5 peratus manakala pekerja asing membayar 10 peratus sebagai caruman KWSP.

“Ini bermaksud, sekiranya seorang gaji asas seorang pekerja asing ialah RM1,700, maka 1.5 peratus caruman majikan ialah RM25.5, dan caruman pekerja ialah RM170, jumlah caruman KWSP adalah RM195.50, iaitu hampir RM200, iaitu angka kenaikan gaji minima untuk tahun 2025,” katanya.

Ketika ini, kadar caruman majikan ditetapkan pada 13 peratus manakala caruman pekerja pula adalah 11 peratus daripada gaji pokok mereka.

Pada kadar semasa, Kok menganggarkan bahawa kos majikan untuk mengambil seorang pekerja asing akan meningkat sekurang-kurangnya RM421, berdasarkan gaji minimum baru dan caruman KWSP.

“Pada pandangan saya, pembayaran caruman KWSP kepada pekerja asing akan dapat menegah pekerja asing untuk lari daripada majikan asal dan menegah sindiket yang mencuri / menculik pekerja asing yang baru sampai di Malaysia.

“Sistem pencaruman KWSP untuk pekerja asing juga membantu pekerja asing untuk mempunyai simpanan wang, dan bila mereka tamat tempoh pekerjaan mereka di Malaysia, simpanan mereka di KWSP yang mungkin berjumlah RM20,000 ataupun RM30,000 pun membolehkan mereka untuk membiayai kos perbelanjaan untuk balik ke negara asal mereka,” katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji supaya pekerja asing turut mencarum kepada dana persaraan sektor swasta itu.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya dua kumpulan yang mewakili industri yang sangat bergantung kepada pekerja asing - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Master Builders Association Malaysia (MBAM) - menggesa kerajaan supaya menangguhkan cadangan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS