Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu hutang PTPTN: Dari dulu lagi BN dah cakap - Akmal
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 12:26 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Pemuda Umno hari ini membidas kerajaan khususnya Pakatan Harapan (PH) berhubung isu hutang Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam kenyataan di Facebook berkata, sejak zaman BN memerintah lagi kerajaan telah memaklumkan bahawa hutang pinjaman berkenaan tidak boleh dimansuhkan.

Namun, katanya, perdana menteri ketika itu Najib Razak dimaki dan dihina.

"Kita dah cakap lama dah sejak dari zaman BN kerajaan dulu.

"Tapi tak nak percaya, malah kutuk lagi kerajaan ketika itu dan berbakul Najib dimaki dan dihina," katanya merujuk laporan media bahawa kerajaan tidak dapat menghapuskan hutang PTPTN kerana kekangan yang besar.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan sukar untuk memansuhkan hutang PTPTN kerana komitmen kewangan yang begitu besar.

Katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sebelum ini telah melunaskan hutang pinjaman dianggarkan RM76 bilion.

Jelas Mustapha dia sedar bahawa isu hutang PTPTN menjadi sebahagian manifesto baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

“Cuma dalam keadaan sekarang ini, memang untuk kita hapuskan (hutang PTPTN) agak sukar dengan komitmen kerajaan yang begitu besar.

“Kita juga kena fikirkan, bila kita mahu hapuskan yang belum membayar, kita kena fikirkan juga yang sudah membayar itu," katanya.

Mengulas lanjut Akmal berkata, antara pendekatan yang diambil kerajaan BN ketika itu ialah dengan memberi pinjaman percuma kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.

"Mungkin antara cadangan semasa zaman BN dahulu untuk beri percuma kepada peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dan pengurangan kepada peminjam yang lain terutama dari keluarga yang kurang kemampuan boleh diteruskan,

"Apa boleh buat, layan jelah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS