Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiong: Operasi daftar masuk, keluar hotel bawah kuasa k'jaan negeri

PARLIMEN l Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kawalan dan penguatkuasaan "masa daftar masuk dan keluar" yang dilaksanakan oleh hotel adalah di luar kawalan kementeriannya.

Sebaliknya, menurut Tiong, operasi berkaitan rumah tumpangan dan pemalaman adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui majlis tempatan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tiong King Sing, Menteri

“Untuk makluman, Akta 482 yang telah diwarta pada tahun 1992 memperuntukkan keperluan pendaftaran premises penginapan pelancong termasuk hotel.

“Tetapi kawal selia dan penguatkuasa operasi bukan terletak bawah Motac,” kata Tiong yang juga adalah Parlimen Bintulu.

Isu mengenai masa daftar masuk dan keluar yang ditetapkan oleh hotel menjadi tajuk utama selepas seorang tetamu hotel mengadu di media sosial tentang dirinya diminta mendaftar masuk pada jam 4 petang dan diberitahu untuk keluar sebelum pada jam 11 pagi keesokan harinya.

Tiong hari ini merujuk kepada aduan yang sama dan berkata kementeriannya melalui perbincangan dengan pengusaha hotel pada 17 Okt lepas telah membincangkan isu itu yang berpunca daripada kekurangan pekerja yang bekerja di bahagian pengemasan (housekeeping).

"Susulan mesyuarat itu bagi memastikan perkara berkaitan operasi hotel dikukuhkan, maka Motac akan mengadakan perbincangan dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri dan pihak berkepentingan yang lain tentang kewajaran memasukkan pengambilan lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel dalam Akta 482," katanya.

Menjawab soalan tambahan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bebas-Bukit Gantang) dan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), mengenai cadangan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan hotel, Tiong mengulangi perkara itu di luar bidang kuasa kementeriannya.

Semalam, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho) mengecam kenyataan awal Tiong bahawa adalah "amalan biasa" hotel di luar negara membenarkan tetamu menginap selama 23 jam.

Sambil menyifatkan ia sebagai cadangan yang tidak masuk akal, Pengarah Eksekutif Maho Saharuddin M Saaid berkata berkata, perkara itu dikekang dengan keupayaan operasi hotel termasuk jumlah tenaga kerja bagi mengemas bilik dan kadar penginapan.

Ini, katanya, terutama ketika musim kemuncak apabila semua bilik hotel telah ditempah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS