Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada usaha sekat saya tanding MPT - Ketua Bersatu Melaka
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 12:04 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Ketua Bersatu Melaka Yadzil Yaakub mendakwa bahawa terdapat usaha untuk menggagalkan dan menghalangnya daripada bertanding salah satu jawatan majlis tertinggi parti bulan depan.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, Yadzil (gambar atas) berkata sebagai pemimpin tertinggi parti di negeri itu, dia tidak hairan menjadi sasaran pihak lawan.

“Rentetan desas-desus mengatakan Bersatu Bahagian Jasin digantung, saya mengesahkan perkara tersebut dan ia adalah proses normal pengurusan parti untuk pastikan pemilihan berjalan lancar tanpa ada masalah.

“Namun dalam politik, sudah menjadi adat dalam pertandingan pastinya ada persaingan. Apa yang boleh saya katakan, sebagai pemimpin yang memegang kerusi ter­tinggi parti dalam negeri, sudah pasti menjadi sasaran pihak lawan.

“Apatah lagi, saya merupakan antara calon Ahli MPT yang diramalkan menang, sudah pasti akan ada usaha-usaha menggagalkan kejayaan saya. Melaka merupakan antara ne­geri yang mempunyai kesatuan yang kuat antara setiap bahagian di bawah kepemimpinan saya, sudah pasti juga menjadi rebutan setiap calon yang bertanding untuk mendapat undi kukuh,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Pada 21 Okt, Setiausaha Bersatu Melaka Azzaruddin Idris mengesahkan pemilihan bahagian Bersatu Jasin telah "dibekukan" buat sementara waktu berikutan penggantungan jawatankuasa bahagian itu baru-baru ini.

Dia berkata penggantungan itu akan mengambil "tempoh masa" dan bergantung kepada siasatan yang dijalankan oleh ibu pejabat parti.

Susulan penggantungan itu, Free Malaysia Today melaporkan sumber Bersatu menggesa Yadzil berundur dan mencadangkan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mengambil alih jawatan itu.

Mas Ermieyati bakal menjadi Ketua Wanita Bersatu yang baru selepas penyandangnya Rina Harun memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

Sehubungan itu, Yadzil mendakwa penggantungan itu tidak menjejaskan anggota Bersatu di bahagian itu, termasuk jawatan yang akan ditandinginya dalam pemilihan parti.

“Apa pun, saya kekal taat kepada kepemimpinan parti. Dalam tempoh dua minggu terakhir ini, saya ingin ingatkan kepada semua, apa sahaja boleh berlaku,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS