Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Sampai bila nak tunggang nama Rasulullah?’
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 12:01 PM
Dikemaskini: 4:29 AM
1

Bekas naib presiden PAS, Nakhaie Ahmad mempersoalkan sesetengah pihak yang terus menunggang nama Rasulullah SAW.

Meskipun tidak menyebut secara jelas, Nakhaie dalam satu hantaran di Facebook hari ini dipercayai merujuk kepada pemimpin yang sering menggunakan nabi sebagai dalil dalam sesuatu isu.

Nakhaie Ahmad

Dalam kes ini, Nakhaie dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang memetik Rasulullah SAW ketika menyindir Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung isu gaji.

"Aku ambil gaji kerana Rasulullah pun ambil gaji. Aku berpoligami ikut sunnah Rasulullah.

“Cukuplah! Sampai bila nak tunggang nama Rasulullah.

"Khumus (satu perlima harta) yang diperuntukkan Allah kepada Rasulullah adalah untuk orang miskin, anak yatim dan lain-lain.

"Hang ambil gaji untuk isi tembolok sendiri, untuk bermewah, sedangkan nabi sanggup berlapar untuk membela orang miskin dan anak yatim.

"Samakah tujuan nabi berpoligami dengan kamu berpoligami? Kamu berpoligami nak bela kaum wanita ke atau hanya nak memuaskan nafsu sahaja," katanya.

Kelmarin, Tuan Ibrahim membangkitkan persoalan bagaimana Anwar memperoleh pendapatan dan berbelanja untuk keperluan harian jika dia tidak mengambil sebarang gaji daripada jawatan yang disandangnya.

Menurut ahli Parlimen Kubang Kerian itu secara berseloroh, sedangkan seorang rasul pun diberikan "peruntukan" oleh Allah untuk rezekinya dan keadaan Anwar dianggap "lebih daripada rasul."

Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS

"Saya rasa Tambun (Anwar) tak boleh berselindung di sebalik kenyataan dia tak ambil gaji [...] sebab kalau tengok dari segi data yang ada, rasul pun ada peruntukan yang Allah bagi.

"Ini nampak lebih (hebat) daripada rasul ni. Mungkin dia malaikat kut, dia tak makan gaji," katanya di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS