Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa lindungi pemberi maklumat lepas pendedahan Mkini
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 10:51 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan memberikan perlindungan penuh kepada pemberi maklumat bagi menjaga keselamatan mereka dan menggalakkan usaha memerangi rasuah.

Gesaan itu hadir selepas wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar menyerahkan nama tiga individu berprofil tinggi yang didakwa terlibat dalam sindiket visa perubatan dan counter-setting kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kami ingin memanfaatkan peluang ini untuk menekankan sekali lagi bahawa perlindungan pemberi maklumat adalah asas kepada strategi pencegahan rasuah yang efektif.

"Individu mungkin dihalang daripada mengemukakan maklumat jika perlindungan yang diberikan tidak mencukupi. Oleh itu, kerajaan mesti menunjukkan komitmen yang teguh untuk melindungi pemberi maklumat sekiranya mereka nekad dalam memerangi rasuah," kata presiden TI-M Dr Muhammad Mohan dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad juga menekankan keperluan kerjasama dalam kalangan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menegakkan ketelusan, akauntabiliti dan keadilan.

Selain tiga nama itu, wartawan Malaysiakini turut mengemukakan nama tujuh lagi individu yang didakwa konspirator, termasuk dua daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - seorang daripadanya telah meninggal dunia.

TI-M memuji Malaysiakini kerana kerja penyiasatannya, dengan menyatakan: "Kami memuji peranan wartawan penyiasat Malaysiakini dalam mendedahkan dakwaan rasuah terhadap individu yang mungkin menyalahgunakan kedudukan mereka untuk keuntungan haram.

"Wartawan Malaysiakini menunjukkan keberanian yang terpuji apabila memainkan peranan sebagai pemberi maklumat dan mendedahkan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"TI-Malaysia sentiasa menekankan keperluan rakyat Malaysia untuk memberanikan diri untuk memainkan peranan sebagai pemberi maklumat dan mendedahkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan aktiviti rasuah," tambah Muhammad.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa walaupun lebih 50 pegawai imigresen yang ada kaitan dengan sindiket itu ditahan, individu yang didakwa dalang dan dikenali sebagai Tok Yah atau Tok Ayah dan seorang lagi dikenali sebagai DK, masih tidak disentuh.

Tok Yah dilaporkan seorang pegawai kerajaan yang memegang jawatan penting dalam salah sebuah agensi penguatkuasaan.

Manakala DK ialah seorang ahli perniagaan yang dikatakan disokong oleh seorang lagi ahli perniagaan yang dikenali sebagai "Adik".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS