Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas menteri Bangladesh terkait skandal pekerja asing ditahan
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 7:30 AM
Dikemaskini: 11:30 PM

Polis Bangladesh telah menahan seorang bekas menteri negara itu yang terkait dalam siasatan berskala besar melibatkan agensi tenaga kerja yang menghantar pekerja ke Malaysia.

Menurut laporan media Bangladesh The Business Standard, Imran Ahmed, bekas menteri yang bertanggungjawab dalam soal pekerjaan di luar negara dan kebajikan mereka, telah ditahan oleh polis Dhaka pada Isnin lalu.

Menurut laporan itu, Timbalan Komisioner Polis Tambahan Dhaka Obaidur Rahman mengesahkan penahanan Imran namun sebab sebenar penahanannya belum dapat didedahkan pada masa ini.

Pada September lalu, The Business Standard melaporkan pemilik sebuah agensi pekerja membuat laporan polis ke atas 103 individu, termasuk Imran, atas dakwaan terlibat dalam apa yang didakwa sebagai sindiket yang mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.

Laporan polis itu merujuk dakwaan penyelewengan dan pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan proses penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia, menerusi agensi yang dipilih melalui memorandum persefahaman (MOU) antara dua negara yang ditandatangani Imran dan menteri sumber manusia ketika itu, M Saravanan pada 19 Disember 2021.

Ketika itu, Saravanan berkata perjanjian terdahulu telah tamat pada 17 Februari 2020 dan terma baru akan berkuat kuasa sehingga Disember 2026

Menghapuskan ‘sindiket’

Sebelum menandatangani MOU itu, Imran berkata kementeriannya berhasrat menghapuskan “sindiket” yang dibentuk oleh senarai agensi yang terpilih untuk mengendalikan proses merekrut pekerja, amalan yang pada masa lalu dikaitkan dengan peningkatan kos dan pelbagai kejanggalan.

Ketika itu, dia menjawab kebimbangan yang dibangkitkan Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) yang meminta peluang saksama kepada kesemua kira-kira 1,600 anggotanya untuk menghantar pekerja ke Malaysia.

Di bawah MOU itu, Malaysia mencadangkan senarai 25 Ejen Pengambilan Bangladesh (BRA) dan 250 sub-ejen, dan Imran dilaporkan menolak cadangan itu,

Pada 1 September 2018, Imran menggantung pengambilan pekerja dari Bangladesh, yang ketika itu dikendalikan 10 BRA terpilih dan syarikat berkaitan mereka, di bawah Sistem Permohonan Pekerja Asing.

Menurut laporan, dia dilaporkan memegang jawatan itu sehingga Januari tahun ini, di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Sheikh Hasina Wazid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS