Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal hari ini menggesa kerajaan persekutuan memindahkan beberapa aset ketenteraannya di Semenanjung Malaysia ke Borneo.

Semasa membahaskan Belanjawan 2025, Mohd Shafie (Warisan-Semporna) berkata ancaman keselamatan di Sabah adalah lebih tinggi, justeru sangat wajar untuk kerajaan meningkatkan pengawasan di wilayah terbabit.

Kata Mohd Shafie, kampungnya sendiri pernah diserang kumpulan lanun suatu ketika dulu dan kini Sabah berdepan dengan risiko daripada pasukan tentera negara luar melalui Laut China Selatan.

"Hari ni dalam keadaan negara berhadapan dengan ancaman di Laut China Selatan, malangnya kemudahan pertahanan tidak ada.

"Bayangkan apabila ada kejadian di Tanduo, Lahad Datu dahulu (2013), terpaksa kapal terbang, jet pejuang diterbangkan dari Labuan ke Lahad Datu.

"Tidak ada helikopter pun (di Sabah), terpaksa dibawa dari Labuan," katanya.

Pada masa sama, Mohd Shafie yang juga bekas menteri pertahanan menambah, Sabah berdepan dengan pelbagai risiko kerana kedudukan negeri itu yang bersempadan dengan Indonesia dan Filipina, selain Laut China Selatan.

"Bukannya banyak sangat lanun di Lumut, Perak ni. "Di (pangkalan tentera) Lumut dah ada banyak kapal perang. Jadi bagilah sebahagiannya untuk dihantar ke Sabah untuk pertahanan.

"Di situlah letaknya ancaman (keselamatan negara). Seimbangkan keperluan sumber dan aset," katanya.

Bimbang kurang jurutera

Dalam ucapannya, Mohd Shafie turut membangkitkan isu hak perlembagaan Sabah untuk mendapatkan 40 peratus hasil kerajaan persekutuan untuk negeri itu sebagai menghormati Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan yang termaktub hak itu.

Menyentuh isu pengangkutan, Mohd Shafie menimbulkan kebimbangannya terhadap peletakan jawatan ramai jurutera syarikat Malaysia Airlines yang didakwanya seramai 65 orang.

Katanya, jurutera terbabit meninggalkan syarikat penerbangan negara untuk menyertai organisasi lain yang menawarkan gaji lebih baik.

"Kebimbangan saya bukan setakat isu kelewatan sistem penerbangan yang ada, sistem pengurusan pentadbiran yg tak ada koordinasi dengan baik, bahkan saya melihat dari segi keselamatan.

"Kalau dah lebih 60 orang jurutera letak jawatan, bagaimana kita nak pastikan pesawat udara itu selamat untuk terbang dalam cuaca semakin tak menentu?" katanya.

Sementara itu, Doris Sophia Brodie (GPS-Sri Aman) dalam perbahasannya mengulangi gesaan agar kerajaan persekutuan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak untuk memiliki 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen.

Sambil mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan semua hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perlembagaan, Doris berkata, dia mahu melihat semua isu melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 diselesaikan secara tuntas.

"Semua ini mesti diselesaikan di bawah perlembagaan persekutuan kita supaya semangat persekutuan kita dapat terus ditegakkan tanpa ada lagi jurang antara Malaysia Timur dan Barat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS