Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Aktivis sosial Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh bukanlah mangsa kehilangan paksa, menurut keterangan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah sivil mendengar pada petang ini laporan pasukan petugas khas (STF) yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 menunjukkan pegawai polis yang bertindak secara liar tanpa arahan daripada pegawai atasan sebagai pihak bertanggungjawab.

Bekas pengerusi pasukan petugas khas, Abdul Rahim Uda, membacakan laporan berkenaan insiden terhadap Amri pada 24 November 2016 dan Koh pada 13 Februari 2017.

Bekas hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam itu berkata, kes kehilangan ini tidak memenuhi syarat untuk dikategorikan sebagai kehilangan paksa di bawah Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICP).

Walaubagaimanapun, STF mendapati kehilangan Raymond Koh bukan hilang paksa bawah ICP, di mana mana tiada penafian oleh kerajaan dan pdrm dalam kehilangan atau persembunyian Raymond dan Amri," kata Rahim kepada Hakim Su Tiang Joo.

Apabila peguam keluarga Koh, Steven Thiru, bertanya jika polis menafikan penglibatan dalam kehilangan tersebut, Rahim berkata tiada penafian.

Bekas pengerusi pasukan petugas itu berkata suspek utama kes kehilangan itu Saiful Bahari Abd Aziz, yang merupakan pekerja kontrak di kuarters pegawai cawangan khas di Bukit Aman dari 2006 hingga 2018.

Rahim berkata penemuan STF disebabkan kereta Toyota Vios berwarna emas milik Saiful dengan nombor pendaftaran PFC 1623 dilihat di atau berhampiran tempat kejadian yang melibatkan Amri di Kangar, Perlis dan Koh di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, polis telah cuai kerana gagal menyediakan butiran kontrak Saiful atau mengesannya untuk ditemu bual oleh pasukan petugas.

"Yang paling ketara ialah kereta Toyota Vios miliknya dilihat di lokasi penculikan Amri dan Koh, dia bertugas di Ibu Pejabat Cawangan Khas (di Bukit Aman) sebagai penyelia kuarters.

"Kamu bertanggungjawab hanya untuk satu kuarters. Sangat tidak munasabah untuk melantik seseorang secara kontrak selama 12 tahun. Jika dia bagus, baik disahkan sahaja (penjawatan Saiful).

"Kenapa mengambil pegawai kontrak selama 12 tahun dan apabila isu ini (kehilangan) timbul, dia menghilang tanpa jejak. Sangat pelik," ulas Rahim.

Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri hadir majlis pelantikan pasukan petugas khas kehilangan Raymond Koh dan Amri Che Mat di Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2019.

Bekas hakim itu berkata perkataan 'cuai' digunakan terhadap polis kerana bukan sahaja pasukan tersebut gagal untuk mengesan Saiful yang bekerja secara kontrak dengan mereka selama 12 tahun, tetapi pihak berkuasa juga gagal mengesan Toyota Vios itu.

"Kami tidak berpuas hati dengan siasatan (polis) mengenai Saiful. Kami merasakan lebih banyak yang boleh dilakukan dan dengan cara yang jauh lebih baik," kata Rahim.

Katanya, pasukan petugas juga mendapati empat pegawai polis - Khor Yi Shuen, Azizie Abd Hamid, Shamzaini Daud dan Hazril Kamis - tidak melakukan tindakan mencukupi dalam siasatan mengenai kehilangan Amri dan Koh.

"Dari segi kerja, mereka tidak memenuhi standard sebagai pegawai polis. Mereka tidak melakukan (tindakan yang) cukup dalam kedua-dua kes ini," kata Rahim mengenai syor tindakan lanjut oleh pasukan petugas terhadap empat pegawai tersebut.

Dia menjelaskan demikian dengan merujuk penculikan Koh di siang hari yang melibatkan empat kenderaan pacuan empat roda yang mengelilingi kereta mangsa dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai sebarang rekod nombor pendaftaran kenderaan tersebut.

Rahim merujuk video viral pada 2017 yang menunjukkan Koh diculik oleh individu yang mengelilinginya dengan kenderaan pacuan empat roda.

Bekas hakim itu juga berkata seorang pegawai polis yang ditemu bual oleh pasukan petugas khas berkata penculikan Koh tidak kelihatan profesional.

Rahim berkata pegawai tersebut memberitahu pasukan petugas itu, tiada komando polis terlatih yang akan melaksanakan operasi sedemikian di lokasi seperti di jalan raya yang boleh mengakibatkan orang awam tercedera atau terbunuh.

Menurutnya, pegawai polis itu memberitahu pasukan petugas bahawa modus operandi penculikantersebut tidak diselaraskan dengan baik dan tidak dilaksanakan dengan betul, serta para penculik mungkin telah belajar cara mengelilingi kereta melalui carian di internet.

Bekas pengerusi pasukan petugas itu memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman sivil oleh keluarga Koh untuk memaksa polis dan kerajaan mendedahkan keberadaan Koh, 68.

Keterangan Rahim menyokong bukti lisan yang diberikan oleh seorang lagi bekas anggota pasukan petugas, Zamri Yahya, yang mengatakan Amri dan Koh mungkin diculik oleh pegawai polis yang bertindak bersendirian tanpa arahan dengan kerjasama anggota organisasi agama.

Perbicaraan sivil oleh keluarga Koh di hadapan hakim Su akan bersambung esok.

Susanna Liew, isteri Raymond Koh.

Pada 2019, Suhakam memutuskan Amri dan Koh mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas dari Bukit Aman.

Amri kali terakhir dilihat meninggalkan rumahnya di Kangar, Perlis manakala rakaman CCTV menunjukkan Koh diculik pada siang hari di Petaling Jaya, ketika dia dalam perjalanan ke rumah seorang rakan.

Selepas keputusan Suhakam, isteri Koh, Susanna Liew, 67, memfailkan tuntutan sivil terhadap polis dan kerajaan.

Norhayati Mohd Ariffin, isteri Amri, juga memfailkan tuntutan yang berasingan untuk memaksa pihak berkuasa mendedahkan keberadaan suaminya yang hilang.

Dia juga bergantung pada laporan STF yang sama.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS