PARLIMEN | Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menegaskan sangat tidak adil sekiranya orang biasa seperti pasangan suami isteri yang bekerja sebagai guru atau pegawai kerajaan turut ditakrif sebagai golongan T15 yang sekelompok dengan tokoh korporat atau jutawan.
Menurutnya, berdasarkan data pendapatan isi rumah dari kaji selidik pendapatan isi rumah (HIS) dan pendapatan perbelanjaan isi rumah (HIES) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia setakat 2022, sebanyak 15 peratus pendapatan tertinggi di Malaysia bermula dengan jumlah RM13,295 dan ke atas.
"Takrifan T15 sebagai golongan maha kaya sangat tidak adil.
"Seorang tokoh korporat dan jutawan tergolong dalam T15 manakala suami isteri guru gred DG48 atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) gred M48 ke atas juga tergolong di dalam T15. Adil atau tidak?
"Sebelum ini kerajaan kata tak mahu gunakan pendapatan sebagai threshold (ambang), tapi kenapa sekarang guna T pula? Bukan kita saja yang pening, rakyat di luar pun lagi pening," katanya.
Wee yang juga Presiden MCA menambah, sebelum ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pernah mengumumkan pengagihan subsidi akan dibuat berdasarkan pendapatan boleh guna bersih (nett disposable income) serta faktor lokaliti.
Bagaimanapun, kata Wee, dalam aspek penyasaran subsidi diesel melalui Budi Madani, "formula" Rafizi itu didakwanya tidak terpakai.
Wee berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Hanya perlu satu harga
Tambah Wee keadaan itu akan menyebabkan penganiayaan ke atas kumpulan tertentu kerana rakyat tergolong dalam kategori T15 tidak layak untuk mendapat subsidi petrol RON95.
Pada masa sama, kata Wee, pemberian subsidi Budi Madani menggunakan kriteria pendapatan individu RM100,000 setahun atau RM8,333 sebulan.
Wee turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menunjukkan ketekalan dalam pelaksanaan polisi seperti itu.
"Kelmarin pula Menteri Ekonomi kata kerajaan merancang untuk kenakan dua harga berlainan bagi RON95 di stesen petrol apabila subsidi pukal dimansuh tahun depan.
"Dia kata akan ada harga yang tidak bersubsidi untuk golongan T15 manakala baki 85 peratus rakyat masih akan membayar harga bersubsidi.
"Sekiranya mahu letak dua harga bagi RON95, maka kena ada satu mekanisme atau cara di stesen petrol untuk kenal pasti siapa T15 dan siapa lagi baki 85 peratus.
"(Adakah) sama ada melalui MyKad atau ada cara atau sistem pengenalan lain?" soalnya.
Mengulas lanjut bekas menteri pengangkutan itu turut mengemukakan cadangan agar kerajaan boleh mengkenakan levi petrol ke atas kenderaan petrol baru yang bernilai RM300,000 ke atas, selain mengenal pasti golongan T15.
Jelasnya, sekiranya setiap kenderaan golongan T15 akan isi minyak 50 liter seminggu atau sekitar 2,600 liter setahun, manakala kos subsidi ialah RM1 bagi setiap liter, kerajaan boleh mengenakan levi petrol RM2,600 setahun ke atas lesen kenderaan golongan terbabit.
"Sekiranya mereka benar-benar dari golongan T15 atau mampu membeli kereta melebihi RM300,000 saya rasa bukan masalah untuk mereka membayar RM2,600 setahun bagi setiap kenderaan milik mereka.
"Dengan cara ini, kita hanya perlu ada satu harga petrol bersubsidi di stesen minyak dan kerajaan tetap akan mengutip wang sebagai kos subsidi bagi golongan T15," katanya.