Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tapak sampah haram: Pemimpin muda PKR nafi makan rasuah 

Seorang pemimpin muda PKR menafikan menerima sogokan untuk menutup mata terhadap pembuangan sampah secara haram di Puchong.

Naib Ketua Pemuda PKR Pravin Murali yang juga ahli Majlis Bandar Raya Subang Jaya (MBSJ) Zon 11, Pravin Murali, 28, menafikan dakwaan yang disebarkan oleh sebuah kumpulan Telegram pembocor maklumat.

“Tuduhan jahat dan fitnah ini bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya,” kata Pravin dalam kenyataan kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Dakwaan di Edisi Siasat itu antaranya menuduh dia menerima sogokan daripada kumpulan samseng dan tidak mengendahkan aduan awam.

Edisi Siasat antaranya berkata penduduk bimbang kerana banyak lori besar membawa sampah yang keluar masuk ke kawasan itu.

Sementara itu, Pravin menafikan tiada tindakan diambil terhadap aduan itu.

Katanya, MBSJ dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan perintah henti kerja, menyita tapak dan membawa isu berkenaan ke Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Sampah Haram.

Tindakan itu dibuat susulan aduan diterimanya pada 6 Julai lalu.

Katanya, mesyuarat yang antaranya dihadiri oleh Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai pemilik tanah dan pejabat tanah memutuskan untuk menarik balik hak daripada operator tanah.

Pravin juga berkata pihak majlis juga mengenakan kompaun sebanyak dua kali iaitu RM1,000 dan RM25,000.

Dia juga membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Serdang, Selangor minggu lepas, memohon tindakan terhadap Edisi Siasat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS