Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua persatuan pelajar Universiti Malaya (UM) hari ini menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, termasuk pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Wakil daripada Suara Siswa dan Persatuan Belia Baru UM (Umany) menyerahkan senarai itu di Parlimen hari ini, diiringi Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin.

Pengerusi Umany Lim Jing Jet berkata walaupun pindaan Auku ada dibuat semasa sidang Dewan Rakyat yang lalu, setakat ini belum ada garis panduan dikeluarkan kepada persatuan pelajar untuk meneruskan pembukaan akaun bank, seperti yang telah dibenarkan menerusi pindaan tersebut.

“Hari ini Suara Siswa dan Umany berada di sini (Parlimen) dan berpendirian dengan tegas bahawa kami ingin menuntut kerajaan agar segera mengumumkan butiran mengenai pindaan Auku.

“Dewan Negara telah luluskan pindaan Auku (pada April lalu), tetapi sehingga hari ini panduan untuk menguruskan akaun persatuan pelajar masih belum diumumkan.

“Persatuan-persatuan pelajar masih belum ada hak untuk membuka akaun sendiri dan ini adalah hakikat yang dikesali,” katanya.

Selain itu, Lim berkata Suara Siswa dan Umany turut menggesa kerajaan untuk mengembalikan jawatankuasa teknikal pemansuhan Auku.

Menurut Lim, ini kerana walaupun akta itu telah dipinda, kewujudan Auku tetap akan menghakis autonomi pelajar dan kampus.

“Oleh itu, kami meminta agar jawatankuasa ini melibatkan pakar undang-undang, aktivis mahasiswa dan pihak berkaitan yang lain,” katanya.

Selain tuntutan berkaitan Auku, dua persatuan itu turut menggesa petadbiran UM untuk memansuhkan dasar “baki sifar” yang memerlukan pelajar tahun pertama untuk menjelaskan yuran pengajian sebelum mereka menerima pinjaman pengajian, serta untuk menyemak semula pemansuhan subsidi untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan tinggi.

Chow yang turut menerima memorandum pelajar, berkata dia pada mulanya bersama-sama Suara Siswa dan Umany untuk bertemu wakil Kementerian Pengajian Tinggi.

Chow dan Tan juga berkata mereka akan membangkitkan isu tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS