mk-logo
Berita
Anak bongsu Lee Kuan Yew kini pelarian politik di UK
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Lee Hsien Yang, anak bongsu kepada Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew memaklumkan dia kini merupakan pelarian politik dari Singapura di bawah Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951.

Hsien Yang berkata dia memohon suaka politik pada tahun 2022 disebabkan oleh serangan kerajaan Singapura terhadapnya, yang merupakan perkara yang diketahui umum.

“Mereka mendakwa anak lelaki saya, mengenakan tindakan disiplin terhadap isteri saya dan memulakan siasatan polis palsu yang berlarutan selama bertahun-tahun.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, UK telah menentukan saya berdepan risiko penganiayaan yang berasas dan tidak boleh kembali ke Singapura dengan selamat,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Hsien Yang dan adiknya mendiang Lee Wei Ling sebelum ini bertelagah secara terbuka dengan abang mereka, Menteri Kanan Lee Hsien Loong, mengenai perselisihan tentang apa yang perlu dilakukan terhadap harta milik bapa mereka.

Wei Ling telah meninggal dunia pada 9 Oktober.

‘Tak percaya Hsien Loong’

Hsien Yang menjelaskan sejak tahun 2017, dia dan mendiang adiknya tidak mempercayai Hsien Loong “sebagai seorang abang mahupun sebagai pemimpin”.

Gambar fail, Hsien Yang bersama mendiang kakaknya Wei Ling.

Dia juga berkata mereka berdua bimbang bahawa agensi-agensi negara Singapura akan disalahgunakan untuk mensasarkan mereka dan keluarga mereka.

“Oleh sebab risiko itu, saya tidak dapat menghadiri pengebumian Wei Ling,” katanya.

“Saya memohon perlindungan suaka sebagai langkah terakhir.

"Saya masih warganegara Singapura dan berharap suatu hari nanti akan menjadi selamat untuk pulang ke tanah air,” kata Hsien Yang lagi.

Sehari selepas kematian adiknya, Hsien Yang memperbaharui rayuannya supaya kerajaan Singapura menghormati wasiat bapa mereka, Kuan Yew untuk merobohkan rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road.

“Wasiat ayah saya, Kuan Yew dan ibu saya, Kwa Geok Choo, yang sangat mendalam dan tegas agar rumah mereka di 38 Oxley Road, Singapura 238629 dirobohkan selepas kematian ibu bapa.

“Kuan Yew telah mengarahkan setiap daripada tiga anaknya untuk memastikan wasiat ibu bapa mereka untuk merobohkan rumah itu dipenuhi.

“Dia juga telah membuat rayuan secara langsung kepada rakyat Singapura.

“Tolong hormati ayah saya dengan menghormati wasiatnya untuk merobohkan rumah mereka,” katanya lapor South China Morning Post.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS