PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat kelulusan bagi 35 projek baru pembinaan bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di seluruh negara tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata projek tersebut bernilai RM716.4 juta dan turut melibatkan pembinaan dua sekolah pendidikan khas.
Kata Wong, dua sekolah pendidikan khas itu ialah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran, Sabah; dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Johor Bahru, Johor, dengan kos RM300 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 2,855 murid berkeperluan khas (MBPK).
“Dua sekolah pendidikan khas baru juga sedang dalam proses pembinaan seperti SMPKV Padawan, Sarawak; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bandar Enstek, Negeri Sembilan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Taiping itu menjawab soalan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu sama ada KPM mengkaji atau tidak keperluan untuk memperluas akses sekolah yang menawarkan pendidikan khas serta kadar MBPK hingga kini.
Wong berkata terdapat empat projek penggantian sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) bertujuan mengatasi isu sekolah menumpang iaitu SKPK Taiping di Perak; SKPK Sibu, Sarawak; SKPK Jalan Peel, Kuala Lumpur dan SKPK Seremban, Negeri Sembilan.
Menurutnya, RM10 juta turut disediakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk membantu sekolah autisme swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Elaun MBPK sebanyak RM150 sebulan terus disediakan dan memberi manfaat kepada lebih 110,000 MBPK termasuk murid autistik serta melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta,” katanya.
Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2025, kata Wong, komitmen kerajaan terhadap pendidikan MBPK dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 11 Pusat Permata baru dilengkapi dengan pusat didikan kanak-kanak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu dalam soalan berasingan, dia berkata, tahun ini KPM menyalurkan peruntukan RM31 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas di 310 sekolah kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Sarawak yang tidak sempat disiapkan tahun lalu.
Wong juga berkata KPM menyediakan RM134.33 juta peruntukan khas bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil kemudahan tandas kepada sekolah bantuan kerajaan dengan RM124.73 juta sudah disalurkan setakat Okt ini.
Dia menjawab soalan Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berhubung data semasa projek penyelenggaraan tandas institusi pendidikan KPM bagi 2024.
- Bernama