Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat asing menang tender M'sia wajib beli barang tempatan - Lim
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

PARLIMEN | Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mewajibkan pelabur dan kontraktor asing yang menang tender kerajaan dan swasta di Malaysia untuk membeli barangan tempatan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2025, Lim (PH-Bagan) berkata Indonesia telah mewajibkan pelabur dan kontraktor asing untuk memperoleh 70 peratus bekalan mereka secara tempatan.

Pun begitu Lim mencadangkan kadar lebih rendah, iaitu 50 peratus, dengan pengecualian hanya jika barangan tersebut tidak tersedia secara tempatan.

"Ada pelabur daripada sesuatu negara yang membeli 100 peratus daripada negara asal mereka kerana lebih murah.

"Saya boleh faham sekiranya mereka menjemput tukang masak untuk pelabur asing kerana selera makanan memang berlainan tetapi takkan satu “screw atau bolt” pun tak boleh beli daripada IKS tempatan," katanya.

Masalah ini menurut Lim menjadi ketara apabila syarikat berkenaan juga sering mendapatkan segala keperluan dari luar negara, menyebabkan PKS yang biasa bekerja dengan kontraktor tempatan kehilangan peluang perniagaan.

“Syarikat asing seperti naga yang menekan PKS hingga ada yang mempertimbangkan untuk menutup perniagaan,” tambah Lim.

Lim yang juga pengerusi DAP turut menyatakan perniagaan tempatan turut terancam oleh ekonomi dua peringkat yang menguntungkan sesetengah industri tetapi merugikan yang lain.

"Karenah two tier (dua peringkat) ekonomi wujud bila hanya industri tertentu yang maju dan kaya terus berjaya sedangkan kebanyakan khususnya IKS atau kelas penengah yang ketinggalan atau dipinggirkan," katanya lagi.

Sebagai contoh, Lim menyebut rangkaian butik kain Kamdar, yang telah lama beroperasi tetapi terpaksa menutup sekurang-kurangnya tiga cawangan walaupun terdapat berita baik dalam Belanjawan 2025 yang bertujuan menggalakkan perbelanjaan.

Dia berharap kerajaan akan mengambil langkah untuk mengelakkan masalah ekonomi dua peringkat ini daripada menjejaskan negara dan memastikan semua perniagaan berpeluang mencapai kejayaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS