Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KATA MP l Bukan belanjawan Robin Hood, tapi belanjawan reformasi

KATA MP l Saya ingin menyatakan sokongan ke atas Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 18 Oktober sebagai satu belanjawan reformasi ke arah pembangunan ekonomi yang menjaminkan negara yang maju dan rakyatnya makmur.

Dalam usaha kerajaan perpaduan menangani kesenjangan dan mengurangkan ketidaksaksamaan, ada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba menggambarkan belanjawan ini sebagai Robin Hood yang merompak daripada yang kaya untuk diberikan kepada yang miskin.

Perdana Menteri didakwa menggunakan retorik mempersalahkan atau mengenakan golongan kaya untuk membantu yang miskin sehingga boleh mencetuskan perpecahan kelas. 

Belanjawan 2025 jauh sekali bersifat Robin Hood hanya semata-mata kerana satu dua ayat Anwar yang diambil di luar konteks halatuju ekonomi yang digariskan. Negara tidak boleh berjaya dan maju tanpa menggemblengkan seluruh tenaga dan sumbangan rakyat bukan sekadar golongan B40 dan M40 sahaja tetapi juga merangkumi golongan T20. 

Bukannya benar semata-mata kenakan cukai penalti ke atas yang kaya sebaliknya meminta mereka yang bernasib baik ini membantu mereka yang daif, lemah dan miskin. Inilah aspirasi kerajaan perpaduan yang merangkumi semua rakyat tanpa kira kaum agama dan latar belakang.

Pengenalan cukai pendapatan dividen sebanyak 2 peratus untuk pendapatan dividen yang melebihi RM 100,000 untuk individu atau subsidi bersasar RON 95 yang menjimatkan RM 8 bilion dengan mewajibkan golongan tertinggi T15 dan orang asing membayar harga pasaran tidak harus menjadi alasan inilah Belanjawan Robin Hood.

Golongan T15 tidak dilabel sebagai uber kaya kerana mereka buat sumbangan ekonomi menerusi tanggungjawab korporat social(CSR) dan pembayaran cukai. 

Had Pendapatan Isi Rumah T15 Dalam Lingkungan RM 15,000 Sebulan Untuk Subsidi Bersasar RON 95 

Bolehkah pihak Kementerian Kewangan mendedahkan jumlah quantum setiap tambahan cukai yang dicadangkan kali ini supaya kita boleh dapat gambaran percukaian yang lebih komprehensif?

Dalam kerangka menentukan had pendapatan bulanan isi rumah golongan tertinggi T15 untuk subsidi bersasar RON 95, ia harus mencerminkan upah hidup layak (living wage) dan seharusnya ditetapkan secara inklusif dalam linkungan RM 15,000 sebulan.

Mengurangkan Impak Kenaikan Gaji Minima Sebulan Dengan Mengurangkan Cukai Atau Menaikkan Nilai Ambang Percukaian 

Semoga kenaikan gaji minimum dan perlaksanaan Dasar Progresif Gaji berjaya mengatasi himpitan gaji(wage compression) dan genangan gaji(wage stagnation) yang dialami oleh lebih 16 juta pekerja-pekerja di Malaysia.

Demi kepastian, kenaikan gaji minima harus diumumkan secara berjadual untuk jangka masa panjang supaya semua pihak boleh membuat perkiraaan sewajarnya. Dua sektor yang paling terkesan dengan kenaikan gaji minima ialah sektor perladangan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berintensif tenaga buruh, khususnya pekerja asing. 

Kerajaan boleh membantu IKS dengan menaikkan nilai ambang percukaian IKS sebanyak 15 peratus untuk keuntungan RM150,000 yang pertama kepada RM300,000 dan kadar 17 peratus untuk keuntungan seterusnya sebanyak RM300,000 hingga 600,000 kepada RM700,000. Ini membolehkan IKS menikmati penjimatan percukaian sebanyak RM10,000 untuk tahun taksiran 2025.

Kadar levi keuntungan luar biasa(windfall tax) sebanyak 3 peratus dikenakan terhadap minyak sawit mentah melepasi RM3,000 satu tan metrk di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan metrik di Sabah dan Sarawak.

Johari Abdul Ghani

Menteri Perladangan dan Komoditi sendiri mengakui pada Julai ini bahawa levi windfall tax masakini tidak sesuai memandangkan kos pengeluaran telah meningkat kepada RM 2,800 hingga RM 3,200 satu tan metrik berbanding dengan RM1,800 sebelum ini. 

Kenaikan nilai ambang untuk levi windfall tax minyak sawit mentah sebanyak RM150 terlalu kecil dan harus dinaikkan sebanyak RM 500 kepada RM3,500 satu tan metrik di Semenanjung Malaysia dan RM4,000 di Sabah dan Sarawak. Adalah tidak bermakna dan relevan bahawa levi windfall tax dikenakan pada tahap harga pasaran yang hanya melepasi atau kurang daripada kos pengeluaran.

Sumbangan KWSP Pekerja Asing Boleh Digunakan Untuk Penalti, Denda Atau Kerugian Atas Kesalahan Yang Dilakukan

Kerajaan bercadang memperkenalkan bayaran KWSP oleh pekerja asing secara berfasa sama seperti yang dilaksanakan oleh Perkeso.

Saya bercadang bahawa sumbangan 24 peratus oleh pekerja dan majikan ini boleh digunakan atau “offset” untuk membayar sebarang denda, penalti atau kerugian yang ditanggung oleh majikan sekiranya pekerja asing melakukan kesalahan atau perbuatan khianat. 

Majikan di Malaysia mengalami kerugian besar bila dikhianati oleh pekerja-pekerja asing selepas membuat bayaran levi yang besar. Sekiranya “offset” ini tidak dibenarkan oleh peraturan-peraturan International Labour Organisation(ILO), kaedah Korea Selatan yang memakai sistem bayaran insurans untuk menggantikan bayaran KWSP dan juga menambahbaiknya dengan menggunakan “offset” harus  dipertimbangkan.

Mewajibkan Kontraktor Asing Yang Menang Tender Kerajaan Atau Swasta Dan Pelabur-pelabur Asing Membeli 50 peratus Barangan Tempatan Kecuali Tidak Sedia Ada Dalam Negara

Perdana Menteri harus bangga dengan pencapaian pelaburan diluluskan yang mencipta sejarah dengan RM 329.5 bilion tahun lepas dan RM 160 bilion untuk separuh pertama 2024 ketimbang  RM 135.6 bilion.

Pelaburan asing untuk sektor perkilangan daripada 2021 hingga Jun 2024 mencatatkan RM240 bilion dengan Amerika Syarikat memimpin dengan RM 113.6 bilion diikuti dengan Cina sebanyak RM67.6 bilion dan kemudian Jepun RM 24.4 bilion.

Saya telah menerima banyak aduan daripada IKS bahawa kebanyakan pelaburan asing ini tidak membeli barangan tempatan. Ada pelabur daripada sesuatu negara yang membeli 100 peratus daripada negara asal mereka kerana lebih murah.

Saya boleh faham sekiranya mereka menjemput tukang masak untuk pelabur asing kerana selera makanan memang berlainan tetapi takkan satu “screw atau bolt” pun tak boleh beli daripada IKS tempatan.

Masalah ini menjadi lebih rumit bila kontraktor asing memenangi tender projek-projek kerajaan ataupun swasta.

Kontraktor tersebut akan membeli kesemua barangan keperluan daripada negara asal sehingga IKS tempatan, yang biasanya ada urusan perniagaan sekiranya projek dimenangi oleh syarikat tempatan, tidak ada sebarang tempahan langsung.

Masalah ini yang digelarkan sebagai “seekor naga” telah menghimpit banyak syarikat IKS sehingga ada yang bercadang untuk tutup pintu.

Negara Indonesia mewajibkan pelabur asing membeli 70 peratus barangan tempatan oleh pelabur asing dan pemenang asing untuk tender projek kerajaan dan swasta.

Saya hanya mencadangkan 50 peratus barangan tempatan mesti diperolehi daripada IKS tempatan demi melindungi peniaga tempatan atau memperkenalkan sistem “separuh ekor naga”.

Karenah Ekonomi Dua Peringkat(Two-tier Economy)

Rujukan Perdana Menteri  kepada tiga pemenang Hadiah Nobel Sains Ekonomi 2024 dalam buku mereka “Why Nations Fail – The Origins of Power Prosperity and Poverty” amat relevan.

Kita harus memperakui bahawa institusi inklusif yang melindungi demokrasi seperti keluhuran undang-undang, kebebasan berniaga, ekonomi pasaran terkawal, jaring keselamatan social, hak pemilikan harta dan urustadbir yang bersih dan baik membolehkan sebuah negara berjaya menjadi negara maju di mana kemakmuran bolehlah dikongsi bersama.

Ini dicerminkan dalam unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK 2024 yang lebih kukuh oleh World Bank sebanyak 4.9 peratus, penurunan kadar inflasi kepada 2 peratus dan kadar pengangguran kepada 3.2 peratus serta penurunan defisit daripada 4.3 peratus KDNK (RM 85 bilion) pada tahun 2024 kepada 3.8 peratus(RM 80 billion) pada tahun 2025. 

Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri kerana begitu yakin dengan membentangkan Belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM 421 bilion.

Perbelanjaan Mengurus telah naik RM 32 bilion daripada RM 304 bilion kepada RM 336 bilion untuk tahun depan. Akan tetapi perbelanjaan pembangunan telah turun daripada RM 90 bilion kepada RM86 bilion untuk tahun depan.

Saya harap bahawa penekanan diberikan kepada perbelanjaan pembangunan yang akan menjana pertumbuhan dan hasil negara masa depan yang seharusnya bertambah dengan lebih tinggi dan bukannya dikurangkan.

Cabaran yang dihadapi sekarang ialah memastikan hasil ekonomi dapat dikongsikan bersama, khususnya bila dihadapi keadaan ekonomi dua peringkat atau two tier economy. Karenah two tier ekonomi wujud bila hanya industri tertentu yang maju dan kaya terus berjaya sedangkan kebanyakan khususnya IKS atau kelas penengah yang ketinggalan atau dipinggirkan.

Impak two-tier economy boleh dilihat dengan pusat beli-belah Kamdar,  yang berniaga begitu lama telahpun memberitahu saya bahawa mereka akan menutup sekurang-kurangnya tiga buah kedai dalam negara sungguhpun ada berita baik dalam Belanjawan 2025 yang menggalakkan pembelian dan penggunaan.

Keadaan serupa juga dihadapi oleh perniagaan lain. Saya harap pihak Kerajaan akan mengambil langkah agar masalah two-tier economy tidak membelenggu negara dan hasil kejayaan dapat dikecapi oleh semua perniagaan.

Perbelanjaan lebih RM 10 bilion untuk menanggung kos kenaikan gaji anggota awam kerajaan sebanyak 15 peratus memang disokong. Rakyat harap bahawa kenaikan gaji ini akan disusuli oleh penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih baik, lebih profesyenal, lebih akauntable dan telus.

Masalah Kontrak Mutu Pakaian Seragam Jururawat Sehingga Disedekahkan Sebagai Kain Kafan

Sektor kesihatan diperuntukkan suatu jumlah mencipta rekod sebanyak RM45.3 bilion, yang kedua besar dalam Belanjawan 2025.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan atas kelulusan projek menaik taraf Klinik Kesihatan Mak Mandin dalam kawasan Parlimen Bagan.

Saya ingin memohon agar projek menaik taraf Klinik Kesihatan Butterworth yang berwarisan dan bersejarah boleh disegerakan pada tahun 2025 memandangkan jumlah penduduk dijangka naik dengan pembukaan Pusat Transformasi Bandar(UTC) Di Butterworth pada akhir tahun depan.

Senator Dr Lingeshwaran dari  Pulau Pinang, seorang bekas pengarah hospital kerajaan, telah mendedahkan banyak skandal salahguna kuasa dan kewangan seperti baru-baru ini kes kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak puluhan juta ringgit oleh anggota hospital kerajaan.

Beliau juga menimbulkan kes kualiti kain pakaian seragam yang diterima oleh pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya untuk Jururawat dan pembantu perawatan.

Saya ingin menarik perhatian KKM tentang aduan para jururawat bahawa kain yang diterima adalah sangat keras sehingga kedai jahit pun tidak sanggup menerima kain tersebut kerana takut jarum mesin mereka akan patah.

Ada juga yang mengeluh bahawa kain yang diterima cepat menjadi kuning sehingga mereka dimarahi oleh matron mereka. 

Saya menimbulkan kes ini kerana yang lebih teruk lagi, ada jururawat yang memberi sedekah untuk digunakan sebagai kain kafan.

Lagi mengejutkan, banyak yang terpaksa menerima kain tersebut untuk menerima bantuan upah jahit kerana jika mereka menolak kain tersebut dan membuat aduan, mereka tidak akan menerima bantuan upah jahit yang bernilai RM 690 secara keseluruhan untuk tiga pasang pakaian seragam.

Bolehkah KKM memberikan butiran lanjut tentang kontrak pembekalan ini, khususnya harga tender untuk membeli kain putih untuk dibekalkan kepada para jururawat dan pembantu perawatan, nama syarikat pembekal dan tindakan perundangan yang diambil terhadap syarikat pembekal termasuk denda dan apakah sistem pemantauan yang membenarkan penerimaan pakaian seragam yang bermutu rendah? 

Permohonan Tambahan Peruntukan Untuk Masyarakat Bukan Melayu

Komitmen Perdana Menteri memperkasakan syair Islam boleh dilihat dengan kenaikan peruntukan kepada Jakim daripada RM1.5 bilion semasa beliau menjadi Perdana Menteri pada 2023 kepada RM2 bilion untuk 2025. Ini telah diterima oleh rakyat termasuk yang bukan agama Islam.

Saya ingin memohon agar peruntukan untuk Rumah Ibadat Bukan Agama Islam juga boleh dinaikkan daripada RM 50 juta yang kini sama seperti tahun 2023 kepada RM 100 juta untuk tahun 2025.

Adalah diharapkan peruntukan untuk menyelenggara semua sekolah dapat dinaikkan daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion agar peruntukan yang diberikan dapat ditambah.

Pada masa yang sama saya ingin sampaikan permohonan masyarakat India yang telah melahirkan kebimbangan tentang peruntukan RM130 juta yang diluluskan untuk 2025 sama seperti tahun lepas dan meminta ia ditambahkan kepada RM200 juta.


LIM GUAN ENG adalah ahli Parlimen Bagan dan pengerusi DAP. Ini adalah ucapannya dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS