Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong membangkitkan persoala mengenai bilangan sebenar pakar dan pegawai perubatan dalam sektor kesihatan awam.

Khoo merujuk kepada jawapan bertulis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyatakan sehingga Jun tahun ini, terdapat 43,392 jawatan untuk kakitangan yang terdiri daripada 8,470 pakar dan 34,922 pegawai perubatan.

“Walaupun saya menghargai jawapan daripada Kementerian Kesihatan, saya sangat bimbang dengan apa yang didedahkan oleh angka-angka ini.

"Pada pandangan pertama, angka-angka ini kelihatan mengagumkan, tetapi ada satu soalan penting yang belum dijawab. Berapa banyak daripada jawatan ini yang sebenarnya diisi?,” katanya.

Khoo berkata bilangan jawatan semasa juga tidak memenuhi unjuran permintaan, iaitu 18,912 pakar pada tahun depan dan sehingga 23,972 pakar menjelang 2030.

Dia turut merujuk jawapan bertulis Dewan Negara yang menunjukkan purata 199 pakar meninggalkan sektor kesihatan awam setiap tahun dalam tempoh 10 tahun sehingga 2022 dan jumlah itu hampir dua kali ganda tahun lepas dengan 359 pakat meletak jawatan.

Katanya lagi, terdapat persoalan tambahan mengenai "pengagihan" doktor, dengan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai ketidakseimbangan melibatkan 71,798 doktor dalam sektor kesihatan awam dan swasta sehingga 31 Disember 2022.

“Ini menimbulkan persoalan yang membimbangkan: Mengapa Kementerian Kesihatan menghadapi kekurangan profesional yang serius, dengan lebih separuh meninggalkan sektor awam dan menyumbang kepada keadaan di hospital awam seluruh negara,” soalnya.

Khoo, yang sebelum ini menggesa KKM segera bertindak atas dakwaan kes buli di tempat kerja di hospital awam, menegaskan kegagalan menangani isu kakitangan boleh membawa akibat yang serius, termasuk kematian doktor.

Ahli parlimen DAP itu mengingatkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berhubung janji pada 2018 untuk menangani isu doktor terbeban kerja, ketika tempoh pertama PH di Putrajaya.

“Mungkin pada masa itu masalah itu tidak dapat diselesaikan kerana keadaan yang tidak dijangka.

"Apabila beliau (Dzulkefly) kembali sebagai menteri kesihatan, dia berkata dia ada urusan yang belum selesai.

"Jadi, saya berharap Kementerian Kesihatan akan memberikan jawapan dan mengambil tindakan segera untuk memastikan keselamatan dan kebajikan doktor kita, demi kepentingan berkhidmat kepada rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS