Harga bidaan bagi nombor pendaftaran kenderaan istimewa "Madani" menyaksikan angka 8481 kekal mendapat nilai tertinggi setakat ini.
Nombor pendaftaran "Madani 8481" masih kekal dengan harga bidaan tertinggi iaitu RM9,999 sejak hari pertama bidaan dibuka.
Nombor 8481 menarik perhatian awam kerana mirip perkatan “BABI”.
Bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) yang dibuka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bakal berakhir esok.
Pada 20 Okt, JPJ membuka bidaan NPI Siri Madani dengan harga minimum serendah RM100, yang bermula semalam dan akan berakhir pada pukul 10 malam, Rabu ini.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan berkata keputusan bidaan NPI tersebut akan diumumkan pada Khamis dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
"Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid," katanya.
Katanya, harga bidaan minimum bagi siri nombor plat berkenaan ditetapkan mengikut kategori iaitu RM20,000 untuk 'nombor utama', RM5,000 (nombor premium), RM2,500 (nombor menarik), RM500 (nombor popular) dan RM100 (nombor semasa).
Nombor pendaftaran Madani dilancarkan kerajaan bagi mempromosikan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.
Namun, ia bagaikan menjadi senjata makan tuan apabila nombor-nombor tertentu dijadikan bahawa lawak ataupun sindiran oleh segelintir pihak.
Umpamanya nombor "Madani 8481" yang menjadi perhatian ramai kerana angka 8481 dilihat umpama perkataan "BABI".
Ia menjadi angka yang diminati oleh segelintir masyarakat khususunya warga net untuk memberi label tidak elok kepada kerajaan.
Begitu juga dengan nombor pendaftaran "Madani 47" ataupun "Madani 4747".
Warga net menjadikannya sebagai bahan sindiran terhadap angka pertuduhan kes di mahkamah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Madani 10 pula diberikan kepada Anwar sebagai simbolik perdana menteri ke-10 negara.