Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan hotel soal Tiong - Hotel mana amalkan penginapan 23 jam
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 12:55 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) ingin tahu lebih lanjut mengenai amalan biasa hotel di luar negara yang membenarkan tetamu menginap selama 23 jam.

Menyifatkan ia sebagai cadangan yang tidak masuk akal, Pengarah Eksekutif MAHO Saharuddin M Saaid berkata, perkara itu dikekang dengan keupayaan operasi hotel termasuk jumlah tenaga kerja bagi mengemas bilik dan kadar penginapan.

Ini, katanya, terutama ketika musim kemuncak apabila semua bilik hotel telah ditempah.

“Kita ingin tahu hotel mana dan di mana dalam dunia ini yang amalkan 23 jam untuk tetamu menginap di bilik. Adakah ia amalan biasa atau kekal atau sebenarnya ad hoc?

“Hotel di Malaysia ini atas permintaan iaitu jika keadaan membenarkan tetamu mendaftar masuk lebih awal atau daftar keluar lewat dari waktu biasa yang ditetapkan,” katanya yang dipetik akhbar Kosmo.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing dalam hantaran di media sosial dua hari lalu menggesa pengusaha hotel digesa supaya menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Katanya, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan perkara itu tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

"Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan dengan lebih banyak. Namun, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata.

"Pelanggan yang berbelanja pasti mahu melakukannya dengan senang hati. Jika pelanggan berpuas hati dengan apa yang dibelanjakan, pasti pengusaha akan gembira dengan keuntungan yang berlipat kali ganda.

"Sebaliknya, jika pelanggan menerima pengalaman penginapan tidak memuaskan, ia memberi gambaran pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukan kualiti perkhidmatan," katanya.

Pada masa sama, menteri itu mengakui ada kekurangan tenaga kerja di hotel yang menjejaskan penyediaan bilik untuk tetamu dan berjanji akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk membenarkan pengambilan pekerja asing.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata selepas wabak Covid-19, hotel kini perlu melakukan kerja-kerja sanitasi bilik dan ini memakan lebih masa.

“Jika isu tenaga kerja dapat di­selesaikan dan sistem pengemasan bilik lebih efisien, barulah hotel mampu mematuhi saranan Motac. 

“Perkara ini senang diperkatakan, tapi realitinya banyak perkara perlu dipertimbangkan,” katanya.

Saharuddin berkata, pengambilan lebih ramai pekerja bagi tugas mengemas bilik juga akan mengakibatkan kenaikan kos penggajian.

“Tambahan mulai Februari 2025 gaji minimum dinaikkan ke RM1,700. Hotel tiada pilihan terpaksa menaikkan harga bilik bagi tampung kos operasi,” katanya.

Senada dengan Saharuddin, adalah pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Eugene Dass yang turut me­nganggap saranan Tiong itu sebagai tidak masuk akal.

Katanya, tempoh masa satu jam adalah tidak mencukupi untuk memastikan kebersihan dan semua kemudahan bilik dalam keadaan sempurna.

“Kalau dalam sejam, mustahil dapat pastikan kebersihan dan memeriksa pili-pili air, pendingin hawa dan lain-lain kemudahan bilik berfungsi dengan baik. 

“Perkara ini agak sukar untuk dilaksana terutama semasa me­nerima daftar masuk bagi kumpulan besar,” katanya.

Akhbar itu juga memetik Presiden MAH Christina Toh sebagai berkata saranan Tiong itu sebagai mustahil dan mengelirukan kerana selepas pandemik Covid-19, semua orang lebih menekankan kebersihan, jadi pihak hotel perlu memastikan semua bilik dalam keadaan bersih.

Waktu daftar masuk dan daftar keluar menjadi tumpuan selepas seorang tetamu hotel di media sosial mengadu dirinya diminta mendaftar masuk pada jam 4 petang dan diberitahu untuk berkemas pada jam 11 ​​pagi keesokan harinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS