Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Chow Yu Hui (PH-Raub) mempersoalkan mengapa hasrat pekebun durian di kawasannya untuk berhimpun secara aman dihalang pihak berkuasa walaupun sudah mengemukan notis mengikut kehendak Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Malah menurut Chow, masih ada pegawai polis yang tidak peka dengan perubahan syarat berkaitan tempoh masa iaitu lima hari sebelum himpunan berlangsung berbanding 10 hari sebelum ini.

Kata Chow, pekebun durian terbabit mengemukakan notis kepada pihak polis lapan hari sebelum tarikh perhimpunan berlangsung tetapi tetap tidak dibenarkan atas alasan ia gagal mematuhi tempoh 10 hari lebih awal.

"Mengapa masih ada sesetengah polis tidak menyedari perubahan tempoh notis perhimpunan dari 10 hari kepada lima hari sebelum perhimpunan, dan mengapa pihak polis boleh menyeru kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan aman sedangkan kebebasan berhimpun dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Dia berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Anuar (BN-Lenggong) bagaimanapun berkata dia tidak mempunyai maklumat spesifik mengenai kes yang dinyatakan Chow dan berjanji akan mengemukan jawapan secara bertulis kemudian.

Elak perkara tak diingini

Pada 5 Sept lalu, Malaysiakini melaporkan polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai Perhimpunan Pekebun Durian Raub yang sepatutnya diadakan di Dataran Pasar Sungai Klau, Raub pada 7 Sept.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Langkah itu, katanya, boleh diambil kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi tersebut seperti ditetapkan di bawah APA.

Pengerusi Perikatan Selamatkan Musang King Alliance (Samka) Wilson Chang, pula menegaskan Ketua Polis Negara Razarudin Hussain menyatakan pada Mei lalu bahawa perhimpunan tidak memerlukan kelulusan, sebaliknya cuma memberikan notis lima hari lebih awal.

Shamsul Anuar Nasarah

Chang berkata, mereka menyerahkan notis perhimpunan pada 30 Ogos, lapan hari sebelum perhimpunan.

Shamsul Anuar berkata, kerajaan memang memberi hak dan kebebasan bersuara di semua peringkat, namun kebebasan itu mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, kebebasan bersuara dan berhimpun itu bukanlah bersifat mutlak.

"Perkara 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun, (tetapi) bukanlah bersifat mutlak, perkara 10 (2)(b) menggariskan bahawa parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan ke atas hak yang diberi oleh Perenggan (b) Fasal 1, apa-apa sekatan didapati perlu dan sesuai manfaat demi kepentingan keselamatan persekutuan atau mana-aman bahagian atau ketenteraman awam.

"Penguatkuasaan Akta Perhimpunan Awam 2012 berpandukan perkara 10 (2)(b) ini bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman dan dalam konteks perhimpunan ia bagi mengelak perkara tidak diingin berlaku semasa perhimpunan berlangsung.

"Tindakan dan SOP yang diambil Polis Diraja Malaysia berdasarkan peruntukan akta ini yang dipinda 2019, termasuklah tempoh pemakluman dipendekkan daripada 10 kepada lima hari.

"Apa-apa pun kita beri kebebasan untuk mana-mana pihak melakukan perhimpunan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS