Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen pembangkang mencadangkan agar bantuan sosial kerajaan 'diikat' dengan kadar inflasi negara agar jumlahnya seiring dengan keadaan semasa.

Menurut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dia menyambut baik langkah diumumkan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Okt lalu.

Katanya, Putrajaya perlu mempertimbangkan cadangan untuk mempunyai undang-undang yang akan menguatkuasakan kenaikan berkala dalam jumlah bantuan sosial kepada golongan miskin.

"Jika boleh, masukkan melalui pindaan undang-undang supaya peningkatan (jumlah bantuan) itu dapat dibuat secara berkala, secara tetap.

"Sebagai contoh, kita ikut kadar inflasi negara secara tahunan, atau setiap tiga tahun supaya kita tak perlu tunggu untuk pengumuman sebegini dibuat melalui setiap belanjawan

"Kalau kita dapat lakukan perkara ini, YAB Perdana Menteri, anda sudah menginstitusikan perubahan dengan berkesan, kerana pada masa-masa akan datang, ia tak perlu lagi mengikut kemahuan atau iltizam politik (semasa) kalau kerajaan berubah," katanya.

Syed Saddiq yang juga bekas menteri dalam kabinet PH suatu ketika dulu menyampaikan cadangan tersebut semasa sesi Waktu Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Semasa membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan kerajaan untuk meningkatkan jumlah bantuan kewangan bagi golongan miskin.

Anwar yang juga menteri kewangan memberitahu, kerajaan memberikan peningkatan tertinggi untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) pada 2025 iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion tahun ini.

Katanya, peningkatan tersebut memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

Saranan Syed Saddiq itu kemudian mendapat reaksi positif daripada Anwar.

Menjawab pandangan Ahli Parlimen Muar itu, Anwar berkata ia merupakan idea yang baik dan sesuatu yang boleh dikaji dengan lebih lanjut oleh kerajaan.

"Tentang cadangan menetapkan (kadar bantuan)... akan kita kaji. Ia satu cadangan baru dan baik, dan lihat (teliti) umpamanya mengenai keperluan meningkatkan (jumlah bantuan) berdasarkan kenaikan kos sara hidup," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS