Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l Pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak mendiskriminasi orang politik.

Sebaliknya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, mereka  hanya tidak diizinkan daripada dilantik sebagai ahli lembaga pengarah institusi kewangan dan beberapa agensi lain yang berkaitan.

“Selain kelayakan lantikan ahli lembaga pengarah juga perlu melalui beberapa proses termasuk semakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, SPRM dan polis.

“Ini untuk pastikan rekod mereka itu bersih dan dapat dipertahankan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).

Pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini, Anwar berkata, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan diberikan kepada golongan profesional. 

“Yang dilantik itu profesional. Apakah mereka itu pernah pegang jawatan politik itu bukan soal.

“Siapa yang layak kita tak diskriminasi, orang politik atau bukan, tapi syarat dan keutamaan dan sebahagian besar adalah golongan profesional,” katanya.

Namun menurut Anwar, dalam beberapa bidang, umpamanya institusi kewangan dan beberapa agensi yang berkaitan, ahli politik memang tidak diizinkan.

“Itu tidak diizinkan ahli-ahli politik dalam ahli lembaga, itu memang tegas dan kita mendukung prinsip ditekankan Bank Negara,” katanya.

Hassan dalam soalannya mencadangkan ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC dipilih daripada golongan profesional dari sektor swasta yang berintegriti.

Ahli parlimen lantang dari PKR itu jua meminta perdana menteri agar tidak mengamalkan lantikan dalam kalangan ahli politik atau pegawai kerajaan yang masih bertugas ataupun sudah bersara.

Pelantikan berkaitan politik baru-baru ini membabitkan  anak bekas perdana menteri Najib Razak, Nooryana Najwa, yang dilantik sebagai ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pengerusi Matrade Reezal Merican Naina Merican mengumumkan pelantikan Nooryana pada 16 Okt lalu. Dia melafazkan sumpah ikrar bebas rasuah bersama-sama dua lagi ahli lembaga pengarah, iaitu Hairil Yahri Yaacob dan Mastura Abdul Karim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS