Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia import lebih 1.35 juta tan beras setakat September
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 10:36 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

PARLIMEN l Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa, setakat September lalu, negara telah mengimport 1,358,718 tan beras.

Ia sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang meliputi pelan jangka pendek, sederhana dan jangka masa panjang bagi memastikan produktiviti hasil padi yang stabil dan mengurangkan import beras.

Mohamad Sabu

Negara penyumbang terbesar beras Malaysia adalah dari Vietnam dan Pakistan yang masing-masing mengeksport 549,824 dan 349,832 tan metrik ke negara ini.

Ini diikuti oleh Thailand (178,056), India (229,451), Kemboja (38,397), Myanmar (12,575), Korea (250), Taiwan (170), Jepun (142), Indonesia (13) dan Sepanyol (lapan).

“KPKM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif yang meliputi pelan jangka pendek, sederhana dan jangka masa panjang bagi memastikan produktiviti hasil padi yang stabil, mengurangkan import beras sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan pesawah,” katanya.

Mohamad, berkata demikian ketika menjawab soalan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai jumlah beras yang diimport dari luar negara dan pecahan negara pengeksport.

smail Sabri Yaakob (BN-Bera)

Bekas perdana menteri itu juga mahu tahu tentang tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang negara untuk mengatasi kebergantungan terhadap bekalan beras dari luar negara.

Dalam jawapannya, Mohamad juga menjelaskan usaha-usaha yang dilaksanakan untuk meningkatkan  produktiviti hasil padi.

Ini, katanya, termasuk mempromosikan penggunaan teknologi dan memperbaiki pengurusan penanaman yang sistematik, menggalakkan penggunaan teknologi pertanian seperti dron dan jentanam bagi meningkatkan hasil padi melalui program Sawah Padi Pintar Skala Besar Ala Sekinchan (Smart SBB).

"Ia mencatatkan peningkatan hasil purata sehingga 10.45 metrik tan per hektar, sekali gus meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kos penanaman mereka," katanya.

Selain itu, menurut Mohamad, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) juga  memperkenalkan varieti padi baru.

"Tahun ini, Mardi memperkenalkan dua varieti beras istimewa berkualiti tinggi untuk meningkatkan hasil dan pendapatan petani di negara ini, iaitu beras wangi tempatan MRQ 107 dan MRQ 111, yang boleh menghasilkan lebih lima metrik tan per hektar dengan pengurusan yang betul.

"Kedua-dua varieti ini mempunyai daya tahan yang baik terhadap penyakit karah, lebih tahan lasak, tahan penyakit dan mempunyai hasil yang lebih tinggi.

"Oleh itu, penggunaan varieti padi baharu ini dijangka membantu petani dalam menangani pelbagai isu seperti serangan penyakit dan perosak dan bencana alam," katanya.

Dia berkata, kementerian itu turut menyediakan latihan mengenai pengurusan tanaman dikendalikan Jabatan Pertanian bagi membantu pesawah melaksanakan intervensi segera jika sebarang musibah berlaku dan menggalakkan petani mendapatkan Pensijilan MyGAP.

"Semua usaha dan langkah ini dilihat berpotensi menjadi pendorong kepada petani dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS