PARLIMEN l Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa aset ketenteraan negara yang berusia melebihi 30 tahun adalah sebanyak 171.
“Jumlah aset milik ATM yang melebihi 30 tahun secara keseluruhannya adalah 108 unit bagi tentera darat, 29 unit bagi tentera laut dan 34 unit bagi tentera udara.
“Secara asasnya, had usia guna aset-aset ketenteraan adalah berbeza mengikut fungsi masing-masing,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (PH - Kepong) yang mahu tahu mengenai jumlah kapal laut, kapal selam, kereta kebal, helikopter dan pesawat Angkatan Tentera Malaysia yang berusia lebih 30 tahun daripada tahun pembuatannya.
Menteri itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang perincian mahupun mengulas lanjut.
Lim dalam soalannya juga mahu kerajaan menyatakan kerugian dan punca kapal KD Pendekar yang karam pada Ogos lalu.
Pada 25 Ogos, KD Pendekar dilaporkan mengalami kebocoran dan kebanjiran besar akibat terlanggar objek bawah air di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor sebelum tenggelam sepenuhnya pada petang hari yang sama.
Kapal itu membawa 39 anak kapal yang kesemuanya berjaya diselamatkan.
Bagaimanapun, tiga hari selepas itu, seorang anggota penyelam TLDM Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan operasi salvaj kapal berkenaan.
Mohamed Khaled dalam jawapan bertulisnya tidak menyatakan jumlah kerugian berkenaan dengan alasan siasatan rapi belum selesai. Dia sekadar memaklumkan bahawa kementerian pertahanan telah menubuhkan lembaga siasatan khas bagi menyiasat kemalangan tersebut.
“Perkara ini masih perlu diperhalusi dengan lebih lanjut melalui penyiasatan fizikal ke atas kapal setelah diapungkan kelak.
“Dalam hal ini, pihak TLDM sedang melaksanakan kerja salvaj ke atas kapal tersebut dan mengenal pasti serta memastikan semua peralatan di dalam kapal berada dalam keadaan baik dan tidak hilang.
“Berdasarkan laporan terkini, kapal ini telah berjaya diapungkan dan kini berada di Yard Tanjung Belungkor. Laporan lengkap mengenai punca kemalangan dan jumlah kerugian hanya boleh ditentukan setelah siasatan rapi selesai,” katanya lagi.