Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan negeri sudah mengambil pendekatan terbaik dalam menyelesaikan isu 32 peniaga di Cameron Highlands dan ia perlu dipatuhi serta dihormati.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menegaskan supaya tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keruh sekali gus memburukkan lagi keadaan kerana baginda sudah mendengar taklimat yang disembahkan oleh Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) mengenai status isu tersebut.
“Saya bukan nak menyalahkan atau menunding jari kepada mana-mana pihak, perkara ini sudah diselesai ikut peraturan.
"Saya sudah mendengar dari segi prosesnya, pemilihannya. Kerajaan negeri cari jalan terbaik untuk semua pihak termasuklah mereka yang tidak dapat peluang ini.
“Kita cari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini contohnya, cari tempat lain untuk peniaga...ini (lokasi sesuai) akan dikaji secara teliti oleh kerajaan negeri,” titah baginda dalam hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mendengar taklimat oleh PKCH berhubung isu dan penyelesaian 32 peniaga di Cameron Highlands.
Al-Sultan Abdullah mahukan isu peniaga tersebut diharmonikan dan tidak mengikut perasaan kerana ada proses undang-undang yang perlu diikuti.
Pada 8 Okt lepas, media melaporkan kerajaan negeri mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan beberapa peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands ditindas dengan kadar sewa yang dinaikkan hingga RM5,000 sebulan dan menyiasat aduan berkenaan.
- Bernama