Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sultan Pahang titah kaji cerun terperinci, elak insiden tanah runtuh berulang

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kajian khusus berhubung cerun dilakukan oleh pihak berkaitan agar kejadian tanah runtuh di negeri ini tidak berulang.

Menurut laman Facebook Kesultanan Pahang, baginda bertitah pihak yang mempunyai kepakaran diminta melakukan kajian bagi memastikan kawasan yang sering kali mengalami insiden itu, selamat didiami penduduk.

“Saya harap pihak yang pakar mengenai cerun seperti JKR (Jabatan Kerja Raya), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) membuat tinjauan dan kajian terperinci supaya ada satu penilaian khusus terutamanya di kawasan yang banyak penduduk agar kejadian sama (tanah runtuh) tidak berulang.

"Kita perlukan kajian ini, kita perlu nasihat dan pandangan yang tepat bagi mengatasi kejadian cerun atau tanah runtuh terutamanya di tempat sama. Kita nak bagi keyakinan seandainya tempat yang dihuni mereka adalah selamat atau sebaliknya," titah baginda ketika berkenan melawat Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands.

Pada 7 Okt lepas, seramai 70 penduduk daripada 12 keluarga kampung berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil selama 11 hari susulan tanah runtuh dan banjir lumpur.

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 12 keluarga yang terlibat dengan insiden itu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menasihati penduduk agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika musim hujan.

"Saya harap semua mangsa bersabar, kejadian ini bukanlah kehendak kita tapi semuanya dari Allah SWT. Terima kasih kepada semua agensi terlibat...masuk kali keempat kawasan ini (Sungai Ruil) terlibat dengan tanah runtuh.

"Kita tak boleh lari dari masalah cerun dan tanah runtuh ini kerana ia adalah kuasa alam (natural force), namun ia bukan hanya berlaku di Pahang tetapi juga di tempat lain seperti di Selangor baru-baru ini," titah baginda.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS