Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
APMM gagalkan cubaan seludup satu tan daun ketum
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira satu tan daun ketum bernilai RM50,000 di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang, Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata hasil risikan Unit Risikan Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan Bot Perkasa 1227, pihaknya mengesan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran dipercayai dikendalikan dua individu sedang menuju ke sempadan Thailand, pada 1.20 pagi.

Beliau berkata kedua-dua individu itu berjaya melarikan diri selepas mengemudi bot secara berbahaya dan meninggalkan bot berkenaan di jeti berhampiran kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot menemukan 150 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki berisi daun ketum itu yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Kangar hari ini.

Beliau berkata daun ketum itu dipercayai diperoleh dari Kedah dan modus operandi penyeludup disyaki termasuk mengubah suai bahagian dalaman bot untuk menyembunyikan bungkusan ketum daripada dikesan penguat kuasa.

"Kita percaya ini dilakukan sindiket terancang yang sama kerana pernah dikesan sebelum ini, sindiket akan lari ke kawasan terdekat supaya pihak berkuasa sukar menjejaki mereka dan hanya membiarkan barangan tinggal di dalam bot," katanya.

Beliau berkata daun ketum dan bot dirampas dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang melibatkan pengendalian vesel tanpa lesen yang sah di perairan Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS