Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menggesa kerajaan merangka pelan ekonomi jangka panjang seperti Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050.

Pengerusi BBC Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkara pelan seumpama itu perlu bagi membantu menetapkan hala tuju negara.

“Betul, kita ada (rangka) seperti Ekonomi Madani,  Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (Nimp) dan beberapa lagi,

“Cuma kita tak ada wawasan untuk 30 tahun ke hadapan. Saya sangat mengharapkan semua rancangan yang kita ada hari ini diselaraskan dengan wawasan jangka panjang.

“Tadi ada disebut tentang Wawasan Kemakmuran Bersama. Saya tiada masalah dengan perkara itu, yang penting ada kesinambungan pada Wawasan 2020,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahar membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 dalam kapasitinya selaku pengerusi BBC.

Katanya lagi, kerajaan terdahulu pimpinan Najib Razak merangka Transformasi Nasional 2050, yang dibayangkannya sebagai sesuatu yang boleh dicontohi kerajaan sekarang.

“Tak apa kalau tak mahu teruskan nama itu, tapi biarlah ada (pelan untuk) 30 tahun ke depan agar kita dapat nyatakan apa matlamat kita, ke mana arah tuju kita,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS