Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FMM gesa tangguh cadangan caruman KWSP pekerja asing 2 tahun
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 5:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menangguhkan sekurang-kurangnya dua tahun langkah mewajibkan pekerja asing mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut presidennya, Soh Thian Lai, pengumuman itu mengejutkan kerana tiada rundingan dengan pihak berkepentingan dilakukan terlebih dahulu.

“Walaupun pengumuman itu menyatakan pelaksanaannya akan berlaku secara berperingkat, perincian kritikal masih tidak jelas.

“Ketidakjelasan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam komuniti perniagaan kerana tiada rundingan dibuat terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan sebelum perubahan dasar besar ini diumumkan.

“Pelaksanaan perlu ditangguhkan, sebaiknya selama dua tahun, bagi memberi masa yang mencukupi untuk rundingan komprehensif bersama pemegang taruh dan untuk perniagaan menyesuaikan diri dengan komitmen kewangan yang bakal dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat Jumaat lalu mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pekerja asing mencarum dalam dana persaraan sektor swasta.

Selain itu, dia juga mengumumkan bahawa gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 pada Februari 2025.

Kos akan meningkat

Soh yang meluahkan rasa kecewa berkata dasar tersebut akan memberi kesan kepada operasi perniagaan, kos dan pengurusan tenaga kerja.

“Ketiadaan rundingan dengan perniagaan sebelum pengumuman dibuat menyebabkan industri tidak bersedia untuk perubahan besar ini.

“Tiada maklumat diberikan tentang aspek utama seperti garis masa pelaksanaan, siapa yang akan terlibat di bawah mandat ini, kadar caruman bagi majikan dan pekerja bukan warganegara, atau bagaimana pelaksanaan berperingkat akan diuruskan.

“Ini meningkatkan ketidakpastian dalam kalangan industri yang kini menunggu maklumat lebih terperinci tentang cara dasar ini akan dilaksanakan,” jelasnya.

Soh turut menyatakan bahawa pengumuman itu dibuat pada masa yang mencabar, dengan kenaikan gaji minimum dan pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat yang dijangka tahun depan.

“Perincian mengenai levi pelbagai peringkat masih belum diumumkan, namun ia dijangka akan meningkatkan kos dengan ketara," katanya.

Berkenaan jaringan keselamatan sosial untuk pekerja asing, Soh berkata perlindungan sedia ada oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah mencukupi.

Dia juga menambah caruman KWSP, yang merupakan dana persaraan jangka panjang, mungkin tidak selaras dengan tempoh kerja jangka pendek pekerja asing.

“Ini akan mengurangkan gaji bersih pekerja asing, yang boleh menjadi isu kerana kebanyakan mereka menghantar sebahagian besar pendapatan mereka ke negara asal untuk menyara keluarga,” tambah Soh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS