Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan anak Abuya dikurung: Polis kenal pasti 4 lelaki - IGP
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 5:42 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Polis sudah mengenal pasti empat lelaki bagi membantu siasatan kes anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah yang mendakwa dikurung di penempatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Batu Hampar, Perak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya kini sedang mengesan empat individu berkenaan, yang berusia lebih 20 tahun.

“Siasatan masih dijalankan, kalau sesetengah orang cakap kita (polis) tergesa-gesa tangkap, tidak… kita akan panggil bagi kenyataan dahulu sebelum tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Taman Negara, di Jerantut hari ini.

Razarudin sebelum ini dilapor berkata mangsa mendakwa dikurung di dalam sebuah bilik di rumah setingkat kira-kira sebulan yang hanya dilengkapi tilam, almari dan kemudahan elektrik, serta tidak diberi kebenaran menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.

Semalam polis turut membawa Ummu Atiyah ke lokasi beliau mendakwa dikurung di Batu Hampar, Perak untuk tujuan pengecaman.

Razarudin berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat lagi individu yang mengalami gangguan seksual daripada pengikut GISBH dan meminta mangsa supaya tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif Kerajaan Madani mewujudkan program rehabilitasi menerusi Majlis Keselamatan Negara, ialah peluang terbaik bagi ahli GISBH yang tersasar untuk memulihkan diri sendiri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS