Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar keputusan parlimen yang dianggapnya zalim kerana melarang dia berada di beberapa kawasan di Dewan Rakyat.

Katanya, arahan dibuat Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul adalah bertentangan dengan petua yang sudah menjadi amalan sebelum ini dan sepatutnya dipatuhi.

Jelas ketua Pemuda Bersatu itu, pada 2018 Ahli Parlimen Gelang Patah ketika itu, Lim Kit Siang, juga digantung selama enam bulan namun masih diberi kebenaran untuk berada di tempat duduknya di Dewan Rakyat, cuma tidak boleh terlibat dalam perbahasan.

"Pada 2018 Gelang Patah (Lim) turut digantung enam bulan sama seperti saya, tapi ketika itu speaker (Pandikar Amin Mulia) benarkan dia duduk dalam dewan tetapi tak benarkan bersuara.

"Ketika itu Datuk Seri Najib Razak berunding dengan speaker dan benarkan Kit Siang duduk dan ikuti sidang.

"Kenapa ketika ini sebuah kerajaan yang diketuai orang yang dipanggil ketua reformasi Malaysia, bukan sahaja menafikan hak saya untuk membela diri dalam jawatankuasa pilihan khas parlimen, malah saya sekarang dilarang sama sekali untuk masuk memerhati sidang yang berlangsung," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Terdahulu Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mempersoalkan keputusan Johari yang melarang Wan Ahmad Fayhsal daripada berada di galeri awam.

Ia susulan surat Johari pada Selasa lalu yang memberitahu Wan Ahmad Fayhsal bahawa dia tidak dibenarkan berada di galeri awam atau bilik untuk pegawai kerajaan yang bertugas di Dewan Rakyat.

Anggap dilayan lebih rendah

Arahan itu, katanya, kerana dia masih menjalani penggantungan mengikut Peraturan Mesyuarat 44(5).

Takiyuddin (PN-Kota Bharu) berkata peraturan itu hanya menyatakan ahli parlimen yang digantung tidak boleh berada dalam mesyuarat atau menyertai perbahasan.

Galeri awam pula, katanya lagi, adalah ruang untuk mana-mana orang biasa mengikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat.

Wan Ahmad Fayhsal yang akan terlibat dalam pemilihan Bersatu pada 2 Nov ini turut mempersoalkan apakah kehadirannya di parlimen lebih rendah tarafnya berbanding orang awam yang hadir menonton persidangan berlangsung.

Katanya, dia hanya dibenarkan berada dalam pekarangan Kompleks Parlimen Malaysia dan mengikuti persidangan dewan rakyat secara langsung.

"Tidak tahu dari peraturan mana saya dilarang dan diharamkan berada di tempat pemerhati dan juga galeri awam.

"Saya tak bercakap langsung, apakah saya diberi layanan lebih rendah daripada petugas, malah lebih rendah daripada orang awam yang hadir menonton sidang Dewan Rakyat?

"Saya ahli parlimen yang dipilih rakyat Machang, saya menang bertanding, hanya digantung enam bulan dan saya masih mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh usul yang menggantungkan saya untuk tidak terlibat dalam perbahasan.

"Kenapa layanan begitu zalim ini dikenakan kepada saya dan rakan-rakan PN?

“Sudah ada satu petua yang sepatutnya yang dipertua boleh patuhi, dan apa salah saya duduk dengan petuga-petugas ahli parlimen dan saya boleh bantu mereka berbahas membawa suara rakyat juga," katanya.

Pada Julai lalui Wan Ahmad Fayhsal digantung selama enam bulan susulan dakwaannya - menggunakan surat layang - didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS