Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wilayah Persekutuan putuskan fatwa mengenai GISB Khamis ini
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 3:43 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan akan memutuskan status doktrin GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada 24 Okt ini kata Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah.

Beliau berkata perkara itu akan dibincang dan dimuktamadkan dalam mesyuarat fatwa Wilayah Persekutuan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat fatwa pada 24 Okt ini khusus untuk membincangkan isu GISBH, sama ada ia akan diwartakan sebagai ajaran sesat atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, walaupun fatwa berkenaan GISBH akan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut, pihak penguat kuasa boleh menggunakan fatwa yang sedia ada, iaitu fatwa Al-Arqam dan Rufaqa’ untuk sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Bantuan Komputer Riba Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Tahun 2024, di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut mengenai jumlah ajaran sesat di Wilayah Persekutuan, Luqman berkata lebih 20 kumpulan dikesan dan telah difatwakan setakat ini.

“Untuk di Kuala Lumpur lebih kurang sama macam Selangor cuma penguatkuasaan itu kebanyakan lebih aktif di luar wilayah ini. Walaupun ada di sini tapi tidak sebanyak seperti di negeri lain,” jelasnya.

Berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar bahawa perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam harus diurus secara beradab, Luqman menjelaskan di Wilayah Persekutan terdapat pihak berkuasa dan fatwa yang perlu dipatuhi oleh masyarakat untuk mengelak perbalahan.

“Setiap dari kita mempunyai pandangan masing-masing, tetapi akhirnya kita perlu patuh pada keputusan yang dikeluarkan oleh institusi fatwa yang diamanahkan,” katanya.

Setakat ini beberapa negeri iaitu Melaka, Perlis, Selangor, Sabah dan Pulau Pinang sudah memutuskan kepercayaan dan ajaran GISBH sebagai ajaran sesat.

Antaranya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 20 Sept lepas memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah iaitu kesinambungan daripada ajaran Al-Arqam yang difatwakan sesat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS