mk-logo
Berita
'Dentuman, gegaran di Ipoh bukan letupan kuari atau latihan polis'
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 3:37 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Polis sedang menyiasat bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh pada 11.06 pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris (gambar atas) berkata hasil semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pada hari ini manakala semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan dijalankan di kuari sebelum 12 tengah hari.

Beliau berkata hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mendapati Malaysia khususnya di Ipoh tidak terkesan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada 11.24 pagi tadi.

"Pihak polis sedang menyiasat mengenai insiden ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu hingga mencetuskan kegusaran awam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak Nizarulikram Abdul Rahim mengesahkan bunyi letupan dan gegaran itu bukan disebabkan oleh kerja-kerja letupan di kuari.

"Pada masa ini kami pun tidak dapat nak beri pengesahan tetapi bukan sebab kuari, yang itu memang sah saya berani cakap," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya telah membuat semakan tidak lama selepas kejadian itu dan mendapati tiada sebarang kerja peletupan kuari pada hari ini, selain syarat dikeluarkan JMG aktiviti peletupan perlu dilakukan antara 12 tengah hari hingga 5 petang dari Isnin hingga Khamis sahaja.

"Jadi kejadian berlaku lebih kurang 11.06 pagi bermakna bukan disebabkan oleh aktiviti kuari.

"Kami juga telah menghubungi persatuan kuari di Perak maklumat sama diperoleh, bermakna tiada aktiviti letupan kuari pada masa berkenaan," katanya.

Nizarulikram berkata kejadian pada hari ini merupakan insiden ketiga selepas kali pertama berlaku pada Jun 2012 dan 4 Okt 2018, dengan kesemuanya terjadi sekitar 11 pagi selain puncanya masih menjadi misteri.

Dalam pada itu, seorang kerani di sebuah syarikat swasta, T. Diviyah, 27, berkata dia sedang melakukan kerja seperti biasa di pejabatnya sebelum berlaku bunyi letupan dan gegaran itu.

"Pintu pejabat bergegar tetapi sekejap sahaja, membuatkan kami (bersama rakan sekerja) terkejut. Memang ada bunyi kuat tetapi tiada apa berlaku dan kami meneruskan kerja seperti biasa," katanya yang bekerja di Medan Istana di Ipoh.

Pengurus di sebuah syarikat swasta, V Jeganathan, 55, pula memberitahu kejadian pada hari ini tidak pernah berlaku sebelum ini sepanjang bekerja di kawasan Medan Istana.

"Kejadian hari ini memang tidak pernah berlaku, ini pertama kali. Saya tidak panik sebab bunyi itu sekali sahaja, cuma pintu pejabat bergegar," katanya.

Selain itu, pemilik kedai makanan di Medan Istana, Rosmah Hussin Shah, 51, berkata dia ada terdengar bunyi letupan itu sekali sahaja.

"Tiada rasa panik atau apa-apa pun, kami (bersama pekerjanya) tidak rasa gegar sangat. Tetapi pada tahun 2018 pernah berlaku, cuma sampai sekarang tak pernah tahu sebab apa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS