Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya angkat sumpah PM, takkan buat onar pada negara, SRC'

Najib Razak berkata dia telah bersumpah sebagai perdana menteri ketika itu dan tidak akan bertindak berlawanan dengan kepentingan SRC International dan negara.

Mana-mana pengarah yang tidak bersetuju dengan cara syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dijalankan, bebas untuk meletakkan jawatan, kata Najib.

Bekas menteri kewangan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes saman SRC sebanyak AS$1.18 bilion (RM3.6 bilion) terhadapnya, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib yang juga bekas penasihat emeritus SRC mengulang kenyataannya sebelum ini dia tidak dapat menguruskan syarikat secara mikro dan bergantung kepada para pengarah yang mempunyai kelayakan profesional sangat baik.

"Sebagai perdana menteri, saya tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar kepentingan syarikat dan negara, saya telah bersumpah di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata Najib di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

SRC sedang menyaman Najib untuk mengembalikan wang yang didakwa diseleweng daripada syarikat tersebut.

Jawapan Najib itu merupakan maklum balas terhadap pemeriksaan balas oleh peguam Gurdial Singh Nijar, yang mewakili bekas pengarah SRC, Suboh Md Yassin.

Najib melibatkan Suboh dan beberapa bekas pengarah SRC yang lain dalam saman tersebut untuk sebahagiannya atau sepenuhnya membayar balik kepada bekas perdana menteri itu jika syarikat tersebut memenangi tindakan sivil itu.

Najib menegaskan dia tidak boleh dipertanggungjawabkan atas penyelewengan dana kerana dia tidak mengetahui mengenai kesalahan yang berlaku di SRC dan lembaga pengarah syarikat itu terikat dengan tadbir urus korporat.

Najib mendakwa Suboh dan beberapa ahli lembaga pengarah SRC yang lain melanggar tanggungjawab fidusiari mereka.

Bagaimanapun, apabila Gurdial meminta butiran spesifik tentang apa yang didakwa Suboh lakukan sehingga melanggar tanggungjawab fidusiari, Najib berkata dia akan memberi jawapan kemudian.

Gurdial: Kamu tidak menyatakan secara spesifik apa yang pengarah lakukan atau tidak lakukan yang menyebabkan kerosakan yang dialami oleh SRC. Kamu salahkan mereka. Kamu tidak menyatakan apa yang menyebabkan kerosakan itu atau apa yang mereka tidak lakukan yang sepatutnya dilakukan sehingga mengakibatkan kerugian (oleh SRC). Kamu tidak menyatakan apa pelanggaran tugas yang berlaku.

Najib: Dia (Suboh dan pengarah SRC lain) terikat dengan undang-undang untuk melakukan apa yang perlu sebagai pengarah, dengan tanggungjawab fidusiari.

Gurdial: Kamu tidak menyatakan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Najib: Saya akan kembali kepada perkara itu (nanti).

Bekas perdana menteri itu menjelaskan dia perlu mempercayai lembaga pengarah dan pengurusan SRC untuk mengendalikan dana kerana dia terikat dengan tanggungjawab menjalankan pentadbiran Malaysia.

"Saya mengharapkan mereka (pengarah) melakukan apa yang perlu dilakukan oleh ahli lembaga. Anda perlu mempercayai orang.

"Bagaimana anda mengendalikan kerajaan, dengan ratusan syarikat berkaitan kerajaan," jelas Najib.

Prosiding mahkamah sivil akan bersambung pada hari Khamis minggu ini.

Saman SRC

SRC menyaman Najib, 71, kerana didakwa melanggar tanggungjawab fidusiari berhubung penyelewengan pinjaman sebanyak US$1.18 bilion yang diterima syarikat itu antara 2011 dan 2012.

Kumpulan Wang Persaraan (Kwap) telah memberi pinjaman sebanyak RM4 bilion dalam dua peringkat untuk SRC melabur dalam aktiviti tenaga boleh diperbaharui.

Najib berpendapat pihak pengurusan bertanggungjawab atas salah guna kewangan di syarikat itu, diketuai oleh bekas CEO, Nik Faisal Ariff Kamil, yang sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Secara kebetulan, Najib sedang menjalani hukuman penjara selama enam tahun sejak Ogos 2022 atas kes jenayah berasingan yang melibatkan dana RM42 juta dari SRC.

Dia didapati bersalah menerima RM42 juta sebagai suapan kerana memastikan dua jaminan kerajaan bagi pinjaman Kwap kepada SRC sedangkan Kwap berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Pada Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baru memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Sebelum ini, SRC International menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC International memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami olehnya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS