Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Boleh bahas butiran Belanjawan 2025 yang tidak disebut PM'
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

PARLIMEN l Ahli Dewan Rakyat kini dibenarkan membahas kandungan dan butiran Belanjawan 2025, termasuk bahagian yang tidak dibaca oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan dokumen tersebut, pada Jumaat lepas.

Keputusan ini dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor, sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 dimulakan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ketua Whip Pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan sama ada butiran dalam teks pembentangan RUU itu termasuk mengenai hasrat kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan hukuman tahanan rumah yang tidak dibaca  Anwar yang juga Menteri Kewangan boleh dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Memandangkan teks (ucapan pembentangan Belanjawan 2025) softcopy dan hardcopy sudah diedarkan kepada Ahli Yang Berhormat dalam dewan ini, walaupun Menteri Kewangan tidak sebut, saya membenarkan pada sesi ini ia (dibahaskan),” katanya sebelum sesi perbahasan bermula.

Ramli berkata Peraturan 10.1 dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan bahawa sebuah penyata rasmi (handsard) yang mengadungi semua ucapan dalam majlis perlu disediakan dan dicatatkan.

“Justeru merujuk kepada teks pembentangan (Belanjawan 2025) oleh Menteri Kewangan, apa yang tercatat dalam teks tapi tidak dibacakan adalah ia menjadi sebahagian daripada handsard dan boleh dibahaskan Ahli-Ahli Parlimen,” katanya.

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu)

Sementara itu, Takiyuddin juga membangkitkan isu mengenai had keberadaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bangunan Parlimen selepas digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata surat Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 15 Okt kepada Wan Ahmad Fayhsal antara lain mengehadkan keberadaan Ahli Parlimen itu di bangunan Parlimen, termasuk di Galeri Awam untuk mengikuti mesyuarat.

Bagaimanapun, Ramli menjelaskan bahawa keputusan mengehadkan keberadaan wakil rakyat itu adalah di bawah bidang kuasa pentadbiran Yang Dipertua Dewan Rakyat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS