Sebuah gabungan NGO dan kumpulan Hindu menggesa kerajaan untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dan mengadakan sesi libat urus dan rundingan berkenaannya dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan hari ini, Gabungan NGO dan Kuil Hindu Malaysia membangkitkan beberapa bahagian yang menurut mereka memerlukan penjelasan lanjut bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami telah dan sedang menerima banyak persoalan daripada orang ramai yang risau terdapat klausa-klausa tertentu yang boleh menyentuh aspek kehidupan semua warga, walaupun mereka tidak beragama Islam,” menurut gabungan itu.
RUU tersebut dijadual dibahaskan dalam sidang Parlimen kali ini. Namun, ia dijangka hanya akan berlaku pada Disember ini memandangkan Dewn Rakyat pada masa ini memberi tumpuan kepada perbahasan Belanjawan 2025, yang dijadual selesai pada 3 Disember.
Antara bahagian yang menjadi kebimbangan gabungan itu adalah Seksyen 13(1) yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa-fatwa Wilayah Persekutuan untuk mengeluarkan fatwa berkaitan “kepentingan negara”.
“Terdapat kekhuatiran seksyen ini terlalu umum dan berupaya mengikat warga Malaysia yang bukan beragama Islam.
“Kerisauan ini ditambah dengan Seksyen 11(b) yang memperuntukan fatwa tersebut termaktub sebagai undang-undang persekutuan dan tidak boleh dicabar di mahkamah di bawah Seksyen 15(3),” kata gabungan itu.
Justeru, mereka menyuarakan kesanggupan untuk berkerjasama dengan kerajaan dan menyertai proses libat urus yang dicadangkan.
RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 menyentuh kuasa dan peranan mufti di Wilayah Persekutuan. Ia telah mengundang kritikan daripada kedua-dua kumpulan konservatif dan liberal.
Antara yang paling lantang mengkritikanya adalah Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, yang antara lain berkata tafsirannya berkenaan Ahli Sunnah Wal Jamaah - yang akan menjadi kriteria dalam pemilihan mufti - sebagai terlalu sempit dan tidak inklusif.
Golongan liberal pula bimbang peruntukan berkenaan fatwa yang mengikat akan memberi kesan besar kepada kehidupan orang Islam di Malaysia.