Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takiyuddin persoal masa 90 minit untuk Hamzah bahas belanjawan

PARLIMEN | Ketua Whip Pembangkang, Takiyuddin Hassan, hari ini mempersoalkan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana hanya memberikan tempoh 90 minit kepada ketua pembangkang membahaskan Belanjawan 2025.

Takiyuddin (PN-Kota Bharu) juga merujuk kepada amalan terdahulu khususnya ketika pihaknya menjadi kerajaan pada 2021 apabila memperuntukan tempoh 120 minit untuk ketua pembangkang berbahas.

Katanya, sebelum ini - ketika PN menguasai Putrajaya - kerajaan memberikan tempoh masa yang sama saja sama ada kepada menteri kewangan membentangkan belanjawan, dengan ketua pembangkang untuk membahaskannya.

"Saya dah bertanya kepada bekas speaker mengenai perkara ini. Secara dasarnya jika menteri kewangan mengambil masa dua jam untuk bentangkan belanjawan, ketua pembangkang juga diberikan tempoh masa yang sama.

"Ketimbang yang dulu diberikan dua jam, sekarang ini 90 minit. Saya berharap ketua pembangkang akan diberikan masa yang sama (seperti) masa yang diambil oleh menteri kewangan semasa membentangkan belanjawan ini," katanya.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Md Nor bagaimanapun memutuskan supaya tempoh masa yang diberikan itu kekal dan permohonan Takiyuddin ditolak.

"Saya lihat ini adalah isu masa, pertimbangan masa untuk berucap... permohonan lebih waktu.

"Tetapi kalau lihat rekod yang ada pada dewan, pada tahun lalu juga ketua pembangkang diberikan masa 90 minit untuk berbahas. Jadi tidak dapatlah saya nak putuskan dua jam lebih itu.

"Pada pembentangan belanjawan terakhir (tahun lalu) sebelum ini, ketua pembangkang diberikan 90 minit, habis," tegasnya.

Selepas keputusan itu sesi persidangan parlimen diteruskan dengan ucapan perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS