Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MB Johor amat sedih, kecewa klinik di Gelang Patah sesak, daif
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 11:38 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, melahirkan rasa amat sedih dan kecewanya melihat keadaan Klinik Kesihatan Gelang Patah di Iskandar Puteri yang sangat daif.

Menerusi satu hantaran di Facebook, katanya dia yang melawat klinik itu semalam, mendapati ruang menunggu begitu sesak dan sempit, selain kemudahan infrastruktur yang tidak berfungsi.

"Saya berasa amat sedih dan kecewa melihat keadaan yang sangat daif di Klinik Kesihatan Gelang Patah ketika melawat semalam.

"Beberapa perkara diutarakan pihak pengurusan klinik dan orang awam ketika saya berada di klinik itu termasuk ruang menunggu di klinik yang sesak dan sempit dengan fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang serta rosak,” katanya.

Selain itu, katanya, keadaan diburukkan lagi dengan kemudahan parkir kenderaan yang terhad dan tidak tersusun di kawasan klinik berkenaan. Dia juga mengambil maklum mengenai kekurangan aset seperti mesin ultrasound dan komputer.

"Purata harian pelawat ke Klinik Kesihatan Gelang Patah berjumlah lebih 800 orang pesakit dan ia tidak mampu menampung populasi hampir 100,000 penduduk di kawasan Iskandar Puteri.

"Keadaan yang padat dan sesak ini menjadi cabaran utama di sini," katanya.

Susulan itu, pemimpin Umno itu berkata, kerajaan negeri akan membantu sedaya mungkin bagi menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk membina sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Iskandar Puteri.

“Saya sedar dan insaf masih banyak yang perlu dilakukan dalam mempertingkat kualiti fasiliti kesihatan di negeri Johor.

“Namun, saya percaya dengan kerjasama, usaha dan sokongan semua pihak, segala apa yang direncanakan mampu direalisasikan,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS