Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir hari ini menggesa agar pihak institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya tidak menyekat kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademiknya.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tetap akan mempertahankan kebebasan ahli akademik universiti tempatan untuk menyuarakan pandangan.
"Selagi mereka (ahli akademik) memberi pandangan berdasarkan disiplin ilmu dan berlatarbelakangkan kepada kajian, bukti serta data, saya fikir adalah tidak wajar kepada mana-mana pihak untuk cuba mengekang kebebasan mereka," lapor BH Online yang memetik Zambry di Putrajaya hari ini.
Pada 17 Okt lalu, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mendedahkan memorandum daripada Jabatan Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam perkongsian di X, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata dia menerima dokumen tersebut daripada rakan akademik.
Antara lain rakan Maszlee itu menyatakan: "Hari yang menyedihkan bagi ahli akademik Malaysia di mana Akta 605 - pembunuh kebebasan akademik sebenar - diterjemahkan ke dalam tindakan. Secara teknikalnya semua penyelidik dasar di UKM diisytiharkan pekerjaan mereka sebagai sulit.”
Memo bertarikh 8 Okt itu mengingatkan ahli akademik supaya tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan dibenarkan atau diberi mandat berbuat demikian.
Untuk rekod Akta 605 yang dipetik itu merujuk kepada Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.
UKM bagaimanapun menafikan IPT itu menghalang kebebasan mana-mana kakitangannya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
Tak akan benarkan kongkongan
Dalam kenyataan menjelaskan isu tersebut, UKM berkata pihaknya meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.
Namun, kata IPT itu lagi, etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah.
Setiap pandangan pula, katanya, perlu dibuat dengan disokong fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran.
Zambry juga berkata dalam isu memorandum berkenaan, orang ramai wajar memahami konteks yang berkaitan sehingga IPT terbabit mengeluarkan arahan tersebut.
"Kita kena memahami dalam konteks apa yang sebenarnya disebutkan oleh UKM itu. Apakah benar-benar ia cuba mengongkong?
“Kalau benar untuk mengongkong kebebasan akademik, saya adalah menteri pertama yang akan kata tidak, dan saya tidak akan benarkan kongkongan-kongkongan yang cuba dilakukan terhadap golongan ahli akademik kita,” katanya.
Selain itu, Zambry turut menafikan bahawa pekeliling yang dikeluarkan oleh UKM ada kaitan dengan Akta 605.
"Saya telah pun periksa dengan pihak UKM, bahawa selama ini mereka tidak pernah pun menggunakan perkara 605 yang berkaitan dengan disiplin dan sebagainya tindakan yang perlu diambil," tambahnya lagi.