Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembekuan kuota penggajian pekerja asing kekal - Saifuddin
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 11:12 AM
Dikemaskini: 4:17 AM

Pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata hal ini memandangkan jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 Sept lepas didapati menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.

Saifuddin Nasution berkata jumlah pekerja asing dalam negara dipandu oleh ketetapan Kementerian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.

"Kerajaan akan meneliti dan membuat pertimbangan semula berhubung ketetapan pembukaan kuota penggajian pekerja asing.

"Maka, dimaklumkan bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing adalah diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tempoh pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0, katanya telah tamat pada 31 Dis 2023 dan kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan program pemutihan baharu pada masa akan datang.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS