Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Henti hukum, label T15 mahakaya, adakan mekanisme'
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 9:15 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Seorang pemimpin akar umbi PAS tampil mendesak kerajaan hari ini supaya tidak menghukum golongan T15 yang merujuk golongan isi rumah berpendapatan tertinggi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru, Dr Mohd Mazri Yahya berkata golongan T15 telah cukup dihukum apabila pelbagai bantuan subsidi kepada mereka dimansuhkan atau ditarik balik.

“Bukan sekadar bantuan sabsidi tertentu, kemasukan anak ke sekolah dan universiti, penggunaan elektrik dan sebagainya dan malah sekarang penggunaan minyak pula.

“Tidak salah untuk menyumbang kembali kepada rakyat terutama pada masa yang memerlukan ini, tetapi janganlah menggunakan terma-terma yang tak masuk akal seperti golongan mahakaya dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.

Bagaimanapun timbul reaksi oleh ramai pihak mengenai pengkelasan golongan T15 berkenaan.

Sementara itu, mengulas lanjut, Mazri yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, sebahagian T15 ini pendapatan isi rumah mereka hanya lebih seratus dua ratus ringgit sahaja daripada rakan-rakan di tangga T16 dan seterusnya.

Justeru, dalam hantaran itu, dia turut memberikan beberapa cadangan mekanisme pembelian petrol RON95 yang bakal diberikan kepada golongan bukan T15.

“Cara pertama, beli minyak dahulu dengan harga pasaran untuk semua rakyat Malaysia dan kemudian memohon ‘reimbursement’ daripada kerajaan bagi 85 peratus rakyat yang layak.

“Cara ini akan lebih menyusahkan rakyat dan memerlukan pekerjaan tambahan kepada pegawai kerajaan yang menguruskan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan boleh menggunakan ‘kad subsidi’ kepada 85 peratus rakyat Malaysia yang layak dengan had siling penggunaan.

Jelas Mazri, kad itu boleh digunakan bukan hanya untuk petrol, tetapi semua bantuan subsidi kerajaan, permohonan biasiswa, bantuan kewangan dan sebagainya.

Cara ini menurutnya, mungkin akan menyusahkan pada permulaan pelaksanaan tetapi memudahkan pada hari kemudian.

“Cara ketiga dengan menggunakan kad pengenalan ketika membeli minyak. Ini akan menyusahkan pembeli minyak dan operator minyak dan kemungkinan disalahguna.

“Ada sebahagian T15 menggunakan perkhidmatan pemandu yang boleh sahaja menggunakan kad pengenalan mereka (pemandunya) ketika membeli minyak,” katanya.

Sementara kaedah keempat pula, ialah dengan cara pembelian minyak petrol seperti mekanisme pembelian diesel dengan semua membayar pada harga sama, tetapi kerajaan memberi bayaran subsidi kembali melalui Budi Madani contohnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS